Saya masih tidak bersetuju yang perkhidmatan AI generatif boleh menjadi pengganti kepada pembantu maya seperti Siri dan Google Assistant. Ini kerana AI yang mudah diakses oleh semua orang seperti Bard, ChatGPT, Copilot dan lain-lain masih mempunyai fungsi terhad seperti tidak boleh mengawal tetapan peranti atau peranti Internet benda.
ChatGPT percaya mereka boleh menjadi pengganti Alexa atau Google Assistant kerana kelak ia boleh menjadi pembantu maya utama dalam peranti Android. Terbaru, Mishaal Rahman berkongsi yang aplikasi ChatGPT kini menyokong tile pada talam notifikasi peranti Android. Ini secara tidak langsung membolehkan pengguna mengakses ChatGPT dengan lebih pantas untuk terus menggunakan arahan suara. Selain turut boleh mengakses AI ini di mana-mana aplikasi yang sedang terbuka.

Ciri baharu ChatGPT ini hanya terdapat pada aplikasi versi beta 1.2024.018. Dalam percubaan saya, ia masih kurang stabil dengan kerap terputus sambungan. Anda boleh muat turun aplikasi ini di Play Store atau fail APK di sini.