Microsoft mengumumkan lebih 1900 kakitangan di Blizzard Entetainment dan Xbox akan dibuang kerja. Ini berikutan wujud pertindanan tugas selepas Microsoft secara rasmi mengambil alih Activision Blizzard pada bulan Oktober tahun lalu. Jumlah kakitangan yang dibuang adalah bersamaan dengan 8.6% daripada 22,000 kakitangan di bawah perniagaan permainan video di Microsoft.

Selain mengumumkan pengurangan tenaga kerja, Blizzard telah menamatkan sebuah permainan baharu yang sudah dibangunkan sejak enam tahun yang lalu. Permainan ini tidak pernah diumumkan sebelum ini. Turut diumumkan ialah presiden Blizzard Mike Ybarra dan ketua pegawai rekaan Allen Adham telah mengambil keputusan untuk turut meletakkan jawatan. Adham ialah salah seorang pengasas bersama Blizzard pada tahun 1991.
Tahun 2024 bermula dengan ribuan pekerja dalam industri teknologi dibuang kerja dalam jumlah yang besar. Hanya beberapa hari lalu Riot Games, studio yang membangunkan League of Legends turut membuang 500 pekerja sebagai langkah rasionalisasi pasca pandemik.