Carian
Fungsi Selular OnePlus 12 Versi China Turut Dimatikan Di Malaysia
January 29, 2024 Fahim Zahar

Tahun lepas, OnePlus telah melakukan perkara yang tiada siapa jangka akan berlaku kerana selepas hampir 10 tahun berada di pasaran – ini kali pertama mereka melakukannya. Fungsi selular OnePlus 11 set import (China) dimatikan di 42 negara termasuk Malaysia.

Perkara ini dilakukan bagi mengelak orang ramai membeli set import OnePlus yang biasanya dijual lebih murah berbanding set rasmi di negara masing-masing. Terbaru, perkara yang sama telah dilakukan pada OnePlus 12 yang baru sahaja dilancarkan. Dalam pemantauan saya, beberapa penjual set China di Malaysia turut menawarkan perkhidmatan menyahkunci selular ini. Bermakna, sekali lagi Malaysia antara negara terkesan.

Tahun lepas terdapat jalan penyelesaian mudah di mana pengguna boleh menghubungi pusat khidmat bantuan pelanggan OnePlus untuk mendapatkan kod nyahkunci fungsi selular ini. Dengan OnePlus di Malaysia pernah menolak kelayakan menuntut jaminan set import, mendapatkan kod ini di Malaysia mungkin mustahil selain meminta penjual dari China untuk menyahkunci selular sebelum peranti di hantar ke pengguna.

OnePlus 12 di Malaysia akan dijual bermula 3 Februari ini pada harga RM4599. Harga jualan rasmi dilihat adalah hampir RM1000 lebih mahal berbanding set import dan ramai peminat di Malaysia sudah mula mengadu serta mula mencari set import.

Komen