Cari @ Amanz

Elon Musk ialah manusia terkaya di dunia dengan harta bernilai $210 bilion (~RM993 bilion) pada penghujung 2023. Tetapi nilai harta beliau akan menyusut sebanyak $56 bilion (~RM265 bilion) selepas seorang hakim di Delaware menafikan ganjaran saham dengan nilai yang sama diterima oleh Musk pada tahun 2018 kerana dikatakan terlalu melampau.

Keputusan diambil selepas pemegang saham Tesla menyaman syarikat kerana menawarkan ganjaran yang melampau dalam bentuk saham kepada Musk. Saham diberikan selepas Musk dikatakan berjaya mencapai sasaran pengeluaran yang disasarkan pada tahun tersebut.

Elon Musk

Tetapi pemegang saham mendakwa proses memberikan saham serta apakah sasaran yang perlu dicapai tidak jelas semasa keputusan diambil oleh lembaga pengarah. Lembaga pengarah Tesla kini perlu menawarkan pakej ganjaran berbeza kepada Musk.

Oleh sebab itu Elon Musk kini menjadi manusia ketiga terkaya di dunia di belakang Bernard Arnault dan Jeff Bezos. Ini menjadi satu lagi nasib malang buat Musk yang melihat tahun lalu Tesla dipintas oleh BYD sebagai pengeluar EV terbesar dunia dan nilai X menjunam 71.5% berbanding $44 bilion semasa dibeli oleh beliau setahun lalu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd