Cari @ Amanz

Google nampaknya akan menjenamakan semula nama ciri AI generatif mereka Bard kepada Gemini agar selari dengan model bahasa raya mereka. Bard yang dikuasakan Gemini ini turut semakin hari menjadi semakin berkuasa, dengan kini menyokong menjana teks ke imej. Google turut dijangka akan menawarkan Bard Advanced kepada pengguna berbayar.

Terbaru, senarai log perubahan Bard te;ah tertiris. Ia menyatakan yang bermula 7 Februari ini Bard akan ditukar kepada Gemini. Gemini Pro adalah model bahasa raya untuk chatbot Gemini di semua negara yang Gemini ditawarkan. Bukan itu sahaja, pelan langganan yang Google akan tawarkan adalah untuk Gemini Advanced yang dikuasakan Gemini Ultra.

Senarai log perubahan ini turut menyatakan yang aplikasi khas untuk Android dan iOS turut akan ditawarkan. Menurut sumber, aplikasi ini akan mempunyai antaramuka mirip Google Assistant dan Gemini akan terus diintegrasikan dengan perkhidmatan Google lain seperti Gmail, Maps, dan YouTube.

Gemini baharu ini turut akan membenarkan pengguna memuat naik dokumen untuk diimbas dan menjana kandungan baharu. Gemini ini besar kemungkinan akan ditawarkan kepada peranti Google Pixel dan siri Samsung Galaxy S24 terlebih dahulu untuk pengguna di Amerika Syarikat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd