Nothing telah mengesahkan yang Phone (2a) akan dilancarkan sebagai peranti yang memfokuskan ciri dan fungsi teras untuk pengguna. Peranti ini akan menggunakan kod nama Aerodactyl iaitu salah satu spesis dalam francais Pokémon.
Peranti ini turut dikatakan akan menggunakan sistem Glyph baharu, dijana cip Dimensity 7200 dan menggunakan dwi-kamera 50MP. Terbaru, imej sebenar Nothing Phone (2a) tertiris mendedahkan ia tiada sistem lampu Glyph. Bukan itu sahaja, rekaan panel belakang juga kelihatan berbeza dengan elemen komponen berwarna putih melengkung terus ke sisi peranti.
Terdapat elemen komponen gegelung berada di bahagian atas belakang peranti yang kelihatan aneh. Ia pasti bukan gegelung untuk pengecasan nirwayar kerana Phone (2a) dikatakan tidak menyokongnya. Mungkin gegelung NFC? Hadapan peranti tidak dapat dilihat dengan jelas, tetapi Nothing mungkin akan menggunakan skrin yang rata dengan tubuh yang melengkung.
Nothing Phone (2a) dijangka akan dilancarkan ketika acara MWC Barcelona 2024. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi Nothing tidak lama lagi. Peranti ini sudah pun memasuki SIRIM, memberi petanda ia akan dijual di Malaysia dalam masa terdekat.