Projek Future Attack Reconnaissance Aircraft (FARA) diumumkan enam tahun yang lalu oleh tentera darat Amerika Syarikat bagi menghasilkan pesawat peninjau menggantikan Bell OH-58 Kiowa. Kiowa telah digunakan sejak perang Vietnam dan dilihat telah terlalu berusia. Selepas dua helikopter dipilih untuk menjalani proses ujian, hari ini tentera Amerika Syarikat membatalkan prohek FARA secara mengejut.
Keputusan diambil selepas mengambil kira faktor kewangan semasa dan memberikan tumpuan kepada pesawat tanpa juruterbang seperti dron yang boleh melakukan tugas yang sama. Ini sekaligus membuatkan helikopter Bell Textron 360 Invictus dan Sikorsky Raider X juga tidak akan dihasilkan. Pihak tentera turut akan melakukan lebih banyak pelaburan ke atas helikopter sedia ada bagi memenuhi keperluan misi.
Antara kemampuan yang perlu ada pada helikopter FARA ialah melakukan intipan di medan perang tanpa dikesan dengan mudah. Rekaan yang lebih padat membolehkan ia melakukan misi di kawan bandar dan mencelah di antara bangunan.
Konflik di Ukraine menunjukkan dron kecil yang harganya hanya ribuan ringgit boleh melakukan tugas yang sama seperti sebuah helikopter yang harganya mencecah jutaan ringgit. Ia lebih sukar dikesan musuh, hampir mustahil untuk ditembak jatuh dan beroperasi jauh lebih senyap berbanding helikopter semasa.