Google baru sahaja mengumumkan model Gemini mereka Disember lalu dengan Gemini Pro kini digunakan pada Pixel 8 Pro dan Galaxy S24. Kemudian Gemini Advanced diumumkan dengan akses kepada model paling berkuasa mereka Gemini Ultra. Hari ini model Gemini 1.5 Pro pula diumumkan dengan kemampuan dikatakan setanding Gemini Ultra tetapi mengurangkan keperluan kuasa memproses.
Gemini 1.5 Pro sudah boleh diakses oleh pembangun dan pengguna perusahaan. Ia mempunyai peningkatan prestasi sehingga 87% dalam ujian penanda aras. Kelebihan Gemini 1.5 Pro ialah ia memproses sehingga 1 juta token konteks berbanding GPT-4 Turbo yang hanya menyokong 128,000 token konteks.
Akses kepada kemampuan 1 juta token konteks ini hanya diberikan kepada sebilangan pelanggan AI Studio dan Vertex AI sahaja pada ketika ini. Google mempunyai perancangan menawarkannya kepada semua pelanggan di masa hadapan tetapi maklumat terperinci mengenainya belum dimuktamadkan.
Dengan 1 juta token konteks, Gemini 1.5 Pro boleh memproses video sepanjang 1 jam, audio sepanjang 11 jam, 30,000 baris kod atau dokumen dengan 700,000 patah perkataan. Dalam ujian dalaman Google, Gemini 1.5 Pro sebenarnya boleh memproses sehingga 10 juta token konteks.
Dalam contoh video di atas, Gemini Pro 1.5 diberikan tugas “membaca” dokumen misi Apollo 11 dalam bentuk PDF setebal 402 muka surat yang dimuat naik oleh pengguna. Dalam masa 30.2 saat sahaja, Gemini Pro 1.5 boleh memberikan jawapan mengenai detik-detik menarik misi seperti komunikasi yang dilakukan lengkap dengan kuotasi dan konteks perbualan tersebut dilakukan. Kemampuan ini masih belum boleh dilakukan oleh GPT-5 Turbo kerana tingkap token konteksnya yang lebih kecil.
Google turut menggunakan penanda aras Machine Translation from One Book (MTOB) untuk memastikan 1.5 Pro boleh mengendalikan tugasan penterjemahan dengan bahasa yang tidak pernah dilatih. Misalnya adalah Kalamang, bahasa yang digunakan oleh kurang 200 orang di muka bumi. Satu buku panduan tatabahasa diberikan dan 1.5 Pro boleh menterjemah dokumen bahasa Inggeris ke Kalamang dengan sangat baik.
Buat masa ini masih tidak diketahui bilakah Gemini 1.5 Pro akan ditawarkan kepada semua pengguna. Selepas Gemini 1.5 Pro pastinya akan wujud Gemini 1.5 Nano dan Gemini 1.5 Ultra dengan kemampuan yang berbeza.