Fujifilm X100VI Dilancarkan Dengan Sensor 40MP dan IBIS 5-Paksi – Berharga RM8888
Effi Saharudin
Kamera digital Fujifilm X100VI dilancarkan hari ini sebagai pengganti kepada Fujifilm X100V yang menjadi buruan penggemar fotografi sehingga mengalami kekurangan stok. Dari segi rekaan tidak banyak perubahan luaran dilakukan pada tubuh Fujifilm X100VI. Ia hanya sedikit lebih tebal dan sedikit lebih berat berbanding model terdahulu.

Ini kerana sensor kini sebesar 40.2 MP X-Trans CMOS 5 HR yang lebih besar berbanding 26MP pada model sebelum ini yang dipadankan kepada pemproses X-Processor 5. Buat pertama kalinya juga sokongan sistem IBIS 5-paksi terbina disertakan pada siri ini. Sebuah lensa 23mm f/2 Mark II turut diberikan sebagai lensa permulaan.
Sistem rangefinder dikekalkan tetapi sistem EVF LCD dengan 3.69 juta titik juga boleh digunakan. Pada bahagian belakang juga terdapat panel LCD 3″ dengan 1.6 juta titik. Panel LCD juga boleh diubah sudut pandangan apabila diperlukan.

Dari segi kemampuan fotografi, ia boleh mengambil 20 FPS gambar JPEG menggunakan pengatup elektronik, 11 FPS menggunakan pengatup mekanikal dan sehingga 10 FPS dalam mod HEIF. Kemampuan rakaman video pula ialah 6.2K 30p, 4K 60p, dan 1080P 240p. Namun begitu masih tiada sokongan rakaman video ProRes. Kamera hadir dengan 20 simulasi filem Fujifilm termasuk Reala Ace yang sebelum ini hanya ditawarkan pada kamera medium format mereka.
Fujifilm X100VI boleh dipratempah di Malaysia bermula hari ini hingga 3 Mac pada harga RM8888. Pembeli akan menerima hadiah dalam bentuk kad memori 128GB Lexar 1667X UHSS-II, Sandisk Portable E30 1TB SSD, beg kamera Manfrotto dan jaminan tambahan 1 tahun, kesemuanya bernilai RM2,160.

Versi edisi terhad sempena ulang tahun ke 95 Fujifilm juga dilancarkan tetapi dengan harga $2000 (~RM 9591) sebuah. Model ini mempunyai logo asal Fujifilm dengan hanya 1934 unit dihasilkan. Penawaran model ini di Malaysia masih belum diketahui buat masa ini.