Samsung mengumumkan panel skrin lipat keluaran mereka melepasi piawaian MIL-STD 810G. Ini ialah tahap piawaian ketenteraan yang sebelum ini diberikan kepada Samsung Galaxy Tab Active2. Panel 7″ yang melepasi piawaian ini ialah yang sama digunakan pada Galaxy Z Fold5 dan juga panel 7.6″ Flex In&Out yang boleh melipat 360 darjah.

Skrin lipat diuji dengan semburan air pada suhu -10°C yang menghasilkan lapisan 6mm. Ia turut diuji pada suhu serendah -32°C dan setinggi 63°C. Ujian ekstrem ini dilakukan sebanyak tiga kali dalam tempoh 12 jam.
Ia turut tahan hentakan dijatuhkan 26 kali dari ketinggian 1.22 meter dan turut menjalani ujian diletakkan dalam mesin emparan yang diputarkan sehingga tekanan mencapai 10.5 kali graviti. Dengan pensijilan in, Samsung menjadi pengeluar panel lipat pertama yang melepasi piawaian MIL-STD 810G yang melayakkannya digunakan pada peranti milik tentera.