Nothing Phone (2a) Akan Dijana Dimensity 7200 Pro
Fahim Zahar
Nothing secara rasminya telah mengesahkan cip pemprosesan yang akan digunakan pada Nothing Phone (2a) sebentar tadi. Kali ini, Nothing bekerjasama dengan MediaTek pula selepas dua peranti mereka menggunakan cip Qualcomm.
Dalam video baharu Nothing, Phone (2a) disahkan akan menggunakan cip Dimensity 7200 Pro. Ia adalah versi tersuai yang direka oleh Nothing dan MediaTek untuk 10% lebih efisien, pemindahan data yang lebih pantas dengan Adaptive NTFS serta menjamin prestasi konsisten dengan ciri Smart Clean.

Strategi ini adalah sama dengan Xiaomi dengan Dimensity 7200-Ultra yang direka khas untuk Redmi Note 13 Pro+. Nothing OS iaitu sistem operasi Android yang digunakan pada Nothing Phone turut dibangunkan bersama dengan pasukan MediaTek agar Phone (2a) lebih lancar.

Nothing turut berkongsi yang dua calon cip lain adalah Snapdragon 7s Gen 2 dan juga Snapdragon 782G. Tetapi ia tidak dipilih kerana dalam ujian mereka, dua cip ini mempunyai prestasi lebih rendah. Phone (2a) akan dilancarkan pada 5 Mac 2024. Rekaan rasmi dikatakan akan didedahkan di acara MWC Barcelona 2024 tidak lama lagi. Apa kata anda?