Petang semalam, Nothing telah mengumumkan yang Nothing Phone (2a) iaitu pengganti Phone (1) mereka akan dijana cip Dimensity 7200 Pro yang direka khas bersama-sama dengan MediaTek. Peranti ini menyasarkan pasaran kelas pertengahan premium dan membawakan ciri unik Phone (2) pada telefon yang lebih murah.

Spesifikasi penuh bagi peranti ini turut telah tertiris. Skrin yang digunakan adalah AMOLED bersaiz 6.7-inci dengan sokongan HDR10+ serta kadar segar semula 120Hz. Cip Dimensity 7200 Pro tadi dipadankan dengan pilihan memori mencapai 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Kamera peranti pula adala ISOCELL S5KG9 50MP (OIS) dan ISOCELL JN1 50MP. Sementara kamera swafoto kekal 32MP yang sama dengan peranti sebelum ini.

Bateri peranti dikatakan terbesar dalam sejarah Nothing iaitu 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W. Ia turut akan mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP54. Phone (2a) akan menjalankan Nothing OS 2.5.2 berasaskan Android 14 yang lebih baharu. Antara ciri unik adalah Smart Clean untuk pemindahan data lebih pantas serta boleh menjana gambar latar dengan AI.
Nothing Phone (2a) akan dilancarkan pada 5 Mac 2024. Di acara MWC Barcelona 2024 tidak lama lagi, Nothing turut dijangka mendedahkan rekaan sebenar peranti baharu mereka ini. Sama-sama kita nantikan butiran lanjut mengenainya.