Carian
Lenovo Perlihatkan Komputer Riba ThinkBook Dengan Skrin Lutsinar
February 26, 2024 Zamir Roslan

Lenovo ThinkBook Transparent Display Laptop Concept telah diperlihatkan di acara MWC Barcelona semalam. Komputer riba ini dilengkapi skrin 17.3″ Micro-LED yang tembus ke belakang sera tidak mempunyai sebarang bezel dan papan kekunci sesentuh.

Apabila digunakan, papan kekunci akan menyala secara automatik dengan lampu berwarna biru. Terdapat I/O standard seperti USB-C. Memandangkan komputer riba ini masih sekadar konsep, Lenovo tidak berkongsi spesifikasi lengkap tidak pula dikongsi. Tetapi kami melihat ianya sebagai evolusi kepada rekaan Yoga Book yang mereka lancarkan pada tahun 2018. Pada waktu tersebut Yoga Book mempunyai dua skrin sesentuh tetapi dengan skrin standard sahaja.

Skrin boleh mencapai keterangan 1000 nits apabila diperlukan dan bahagian papan kekunci pula boleh diubah menjadi sebuah tablet lukisan yang menyokong stylus. Menerusi skrin lutsinar ini, dunia sebenar dan dunia maya pada skrin kini boleh digabungkan untuk penggunaan peranti yang unik.

Tahun ini melihat beberapa produk lutsinar mula dipasarkan secara komersial. Di CES pada Januari lalu,  LG Signature OLED T dilancarkan sebagai TV lutsinar pertama sementara Samsung pula memperlihatkan panel Micro-LED lutsinar pertama dunia.

Komen