Rekaan sebenar Samsung Galaxy Ring telah diperlihatkan oleh Samsung ketika acara MWC Barcelona hari ini. Ia sebuah cincin berwarna perak dengan bahagian luar yang berkilat dengan beberapa sensor penjejak kesihatan dapat dilihat pada bahagian dalam.

Walaupun rekaan telah diperlihatkan, Samsung masih mengunci mulut mengenai spesifikasi cincin pintar ini atau bilakan ia akan mula dipasarkan kepada umum. Berdasarkan apa yang telah dikongsi sebelum ini, Galaxy Ring akan dapat menjejak nadi, sensor ECG, menjejak pola tidur, mengesan tekanan darah dan turut dipercayai dapat mengesan apnea tidur. Kedengaran juga ura-ura Galaxy Ring boleh digunakan untuk mengawal pelbagai peranti Samsung.
Dalam laporan The Verge yang menghadiri sesi tertutup, Galaxy Ring akan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu platinum silver, ceramic black, and gold. Ia juga akan ditawarkan dalam pilihan saiz antara 5 hingga 13. Semakin besar saiz Galaxy Ring, semakin besar kapasiti baterinya.

Samsung telahpun menerima pengesanan oleh FDA dan jabatan kesihatan Korea Selatan baru-baru ini yang mengesahkan sensor pengesan apnea tidur mereka boleh digunakan sebagai peralatan perubatan.
Cincin pintar dibangunkan oleh Samsung kerana pengguna jam tangan pintar memberikan komen ia tidak selesa dipakai. Dengan Galaxy Ring yang lebih kecil, ia lebih selesa dipakai seharian serta dibawa tidur. Besar kemungkinan Galaxy Ring akan dilancarkan serentak dengan Galaxy Z Fold6 dan Galaxy Z Flip6 pada Julai depan.