Pada bulan November 2023, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz telah ke Amerika Syarikat untuk melawat fasiliti NVIDIA dan berbincang tentang kemungkinan untuk membangunkan sebuah pusat kecerdasan buatan di Malaysia.
Tidak lama kemudian, CEO NVIDIA, Jensen Huang sendiri telah ke Malaysia untuk bertemu dengan Perdana Menteri dan beberapa syarikat teknologi tempatan untuk berbincang tentang pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan di negara ini. NVIDIA dan YTL Power International kini sedang merancang untuk melabur sebanyak RM20 bilion untuk membangunkan infrastruktur komputer awan kebangsaan, termasuk pelaburan sebanyak RM4.3 bilion dalam fasa pertama menjelang bulan Jun 2024.
Apa yang menarik disini ialah kenyataan Tengku Zafrul yang mengatakan dalam ciapannya bahawa pelaburan ini juga akan membawa “superkomputer” terpantas ke Malaysia. Kami telah melaporkan baru-baru ini bahawa NVIDIA telah memperkenalkan Eos, superkomputer kecerdasan buatan paling berkuasa mereka setakat ini. Ia juga merupakan superkomputer kesembilan paling berkuasa di dunia menurut senarai TOP500.
Dibangunkan sepenuhnya menggunakan komponen NVIDIA, termasuklah 576 unit perkomputeran NVIDIA DGX H100 dan komponen rangkaian NVIDIA Quantum-2 InfiniBand, adikomputer ini mempunyai prestasi pemprosesan kecerdasan buatan FP8 setinggi 18.4 exaflops disamping kadar penghantaran data sepantas 400Gb/s.
Menurut NVIDIA, Eos dibangunkan sebagai sebuah jantung untuk kilang kecerdasan buatan, dimana setiap superkomputer ini akan dijadikan pemecut untuk pembangunan teknologi kecerdasan buatan. Jika Malaysia benar-benar serius mahu menjadikan negara ini sebagai sebuah hab teknologi AI serantau, ia tidak mengejutkan sekiranya pelaburan besar benar-benar dibuat untuk infrastruktur teknologi seperti ini.
Beliau juga mengatakan bahawa NVIDIA dan YTL Power International akan merancang kerjasama bersama kementerian dan agensi di Malaysia untuk memperkukuhkan ekosistem dan kemampuan penyelidikan dan pembangunan AI, termasuk menyusun silibus dan program melalui penubuhan Centre of Excellence (COE).
Seperti yang dilaporkan, fasa pertama pelaburan ini yang akan memakan belanja RM4.3 bilion dijangka akan beroperasi bermula Jun 2024 di YTL Green Data Center Park yang terletak di Kulai, Johor.