Lewat malam semalam Elon Musk memfailkan saman ke atas Sam Altman dan Gregory Brockman yang merupakan pengasas OpenAI menurut laporan CourthouseNews. Dalam dokumen yang difailkan, Musk mendakwa kedua-dua defendan melanggar matlamat asal OpenAI ditubuhkan iaitu menjadi syarikat kecerdasan am buatan (AGI) yang tidak mencari keuntungan dan adalah untuk kebaikan manusia.

Penyimpangan daripada idea asal ini tidak dibantu dengan OpenAI dilihat kini membantu Microsoft mengaut keuntungan bersama demi syarikat dan bukannya untuk kebaikan manusia sejagat. Model ChatGPT digunakan oleh Microsoft pada produk Copilot mereka dengan langganan bulanan.
Tambah Musk lagi GPT-4 bukan lagi sebuah sebuah model AI sumber terbuka seperti model-model sebelumnya. Ini dakwa Musk melanggar dokumen Persetujuan Pengasas yang ditandatangani Altman, Brockman, Musk, Reid Hoffman, Jessica Livingston, dan Peter Thiel semasa OpenAI ditubuhkan pada tahun 2015.
Di peringkat awal penubuhan, Musk ialah pelabur terbesar ke dalam OpenAI. Beliau walau bagaimanapun meletak jawatan daripada lembaga pengarah pada tahun 2018 kerana pertelagahan dengan Altman. Selepas tidak lagi bersama OpenAI, Musk membangunkan syarikat xAI dengan chatbot pertama Grok boleh digunakan di X dengan ia dilatih menggunakan data pengguna X/Twitter.