Acara pelancaran yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 7 Mac akan datang bukan sekadar mengenai telefon pintar semata. Sebaliknya ada dua jam tangan baharu iaitu Xiaomi Watch S3 dan Watch 2 yang pastinya disertakan bersama. Kedua-duanya sedia diumumkan penghujung Februari lalu dengan nilai menarik tersendiri dalam menghasilkan aneka produk yang berkualiti.

Bermula dengan Xiaomi Watch S3, ia dilengkapi skrin 1.43″ AMOLED dengan resolusi 466 X 466 piksel dan kepadatan piksel 326 PPI. Diikuti juga bateri 485mAh yang boleh bertahan sehingga 15 hari dengan kegunaan biasa. Kemudiannya boleh berkurang 5 hari apabila fungsi AOD diaktifkan secara kerap.

Pelbagai sensor kesihatan dan kecergasan disediakan yang termasuk yang merangkumi pemantauan kadar jantung, pola tidur, SpO2 dan lebih 150 mod sukan terbina. Ia juga menyokong fungsi panggilan telefon melalui bluetooth, di samping melepasi kalis air 5ATM yang boleh dibawa berenang dengan kedalaman 50 meter.

Seterusnya Xiaomi Watch 2 pula menggunakan skrin AMOLED 1.43″ (466 x 466 piksel) dan dijana dengan cip Snapdragon W5+ Gen 1 untuk menjalankan Wear OS. Ia juga hadir dengan bateri 495mAh yang boleh dicas secara magnetik, di samping storan 32GB dan memori 2GB RAM.

Seterusnya ia turut menyertakan kebolehan GPS yang tepat menerusi sokongan L1 + L5 GPS terbina. Diikuti juga pelbagai sensor kesihatan dan kecergasan terbina yang merangkumi pemantauan kadar jantung, pola tidur, SpO2 berserta lebih 160 mod sukan terbina. Selain turut kalis air 5ATM dan menyokong panggilan telefon bluetooth.
Persoalan kini tertumpu harga jualan rasmi yang sudah pastinya terjawab selepas dilancarkan secara rasmi kelak. Untuk makluman bersama juga Xiaomi Smart 8 Pro sudah pun ditawarkan di Malaysia pada harga RM339.