Ugreen Nexode RG Adalah Pengecas GaN Berbentuk Robot Yang Berharga RM159
Fahim Zahar
Ugreen nampaknya telah mendapat sambutan baik untuk aksesori kuasa siri Nexode mereka. Selepas Nexode 100W Charger dan tiga lagi produk Nexode kami uji, Ugreen telah melancarkan Nexode RG 65W Charger. Ia bukan sahaja pengecas GaN yang kompak, tetapi juga adalah robot yang boleh menemani peranti pengguna ketika pengecasan.

Nexode RG menggunakan cip GaNFast untuk piawaian pengecasan pantas yang lebih efisien. Selain itu, teknologi Airpyra turut digunakan untuk saiz pengecas yang lebih kompak. Pengecas baharu ini mempunyai 2x port USB-C dan 1x port USB-A untuk mengecas tiga peranti serentak. Jika mengecas satu peranti seperti iPhone 15 Pro atau MacBook Air M2 sahaja ia mengambil masa 30 minit untuk dicas sehingga 60% dan 51%.

Ugreen Nexode RG 65W Charger ini turut mempunyai skrin LCD yang memaparkan mata robot. Ketika pengecasan mata dan mulut berbentuk “<” akan terpapar. Selepas selesai, mulut akan hilang. Pengecas ini turut mempunyai penutup yang akan menjadi kaki robot untuk dihias di atas meja pengguna.

Harga jualan pengecas ini di Malaysia adalah sekitar RM159 seunit. Terdapat pilihan warna hitam atau ungu dengan palam UK atau US. Ugreen Malaysia turut akan memberikan kabel USB-C QC4 60W secara percuma dengan setiap pembelian RM100 ke atas. Versi 30W turut dijual pada harga RM79.90.