Siri Xiaomi 14 telah pun dilancarkan di Malaysia. Terdapat dua peranti iaitu Xiaomi 14 dan juga Xiaomi 14 Ultra dan kedua-duanya menggunakan kamera Leica serba baharu. Peranti baharu Xiaomi ini turut akan menerima ciri AI generatif termasuk AI Portrait yang akan mengubah konsep mod kecantikan. Baru sahaja dua peranti ini menembusi pasaran global, berita Xiaomi 15 telah muncul.

Menurut Digital Chat Station, siri Xiaomi 15 akan dijual pada harga lebih tinggi. Besar kemungkinan ini hanyalah untuk pasaran China. Tetapi kalau harga China yang selama ini murah sudah semakin tinggi, bermakna harga pasaran global juga akan terkesan. Di China Xiaomi 14 dijual pada harga bermula CNY 3,999 (~RM2,614) dan Xiaomi 14 Ultra pula bermula CNY 6,499 (~RM4315). Sementara di Malaysia pula bermula RM3499 dan RM5199.

Jika benar Xiaomi akan menaikkan harga siri Xiaomi 15, saya yakin yang peranti-peranti ini masih lagi akan lebih murah berbanding jenama lebih besar seperti Samsung atau Apple. Apa kata anda?