Carian
Pandang Pertama Xiaomi 14 – Kamera Leica Semakin Mencabar
February 25, 2024 Fahim Zahar

Ketika artikel ini ditulis, Xiaomi 14 sudah menjadi peranti harian saya untuk empat minggu. Tetapi saya ingin simpan pengalaman penggunaan saya yang mendalam sehingga pelancaran di Malaysia awal Mac nanti. Oleh yang demikian, dalam artikel ini akan saya kongsi kepada anda bagaimana menggunakan peranti ini sepanjang perjalanan di Barcelona untuk acara pelancaran global siri Xiaomi 14 dan juga acara MWC Barcelona 2024.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Skrin6.36″ AMOLED, 2670 x 1200 piksel,
LTPO + AdaptiveSync Pro 1-120Hz,
Panel tersuai Xiaomi C8
3000-nit, Pro HDR, Dolby Vision
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 (4nm)
Cip1x 3.3 GHz Cortex-X4
3x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 3.0 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM12 GB LPDDR5X
Muatan Dalaman256/512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.6, Light Fusion 900, OIS (Sudut Lebar)
50/32 MP, f/2.0 (Telefoto)
50MP, f/2.2, Makro 10sm (Sudut Ultra Lebar)
LEICA VARIO-SUMMILUX
Leica Authentic & Leica Vibrant, Master-lens system
Xiaomi ProFocus, Portrait Night, video 8K,
Dolby Vision 4K60fps, Ultra Night Video
Kamera Depan32MP, f/2.0, HDR
Bateri4610mAh
90W HyperCharge berwayar
50W HyperCharge nirwayar
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
AudioStereo, Dolby Atmos
WiFi, NFC, BluetoothWiFi 7, Ya, 5.4
Infra MerahYa, pada bonggol kamera
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Harga JualanEUR (12/256 GB)
EUR (12/512 GB)

Xiaomi 13 adalah peranti mercu kompak kegemaran saya. Malah saya masih menggunakan peranti ini sehingga Xiaomi 14 sampai ke tangan. Peranti mercu kompak generasi baharu Xiaomi ini sekali lagi berjaya memikat hati saya kerana rekaan yang kecil molek tetapi premium di dalam tangan dan cukup berkuasa untuk bersaing dengan pesaing yang lebih mahal.

Skrin peranti adalah jenis rata, bezel yang nipis dan hampir sekata, panel AMOLED Xiaomi C8 rekaan sendiri dengan warna Dolby Vision, kecerahan 3000-nit serta menyokong LTPO 1-120 Hz. Rekaan peranti juga menarik kerana ia cukup ringkas dan elegan. Semua butang fizikal berada di sisi kanan, di atas juga tiada apa-apa sama dengan sisi kiri kerana Xiaomi meletakkan lubang mikrofon dan sensor infra merah pada bonggol kamera. Di bawah adalah kekisi speaker, port USB-C, satu lagi lubang mikrofon dan slot kad SIM.

Unit yang saya gunakan ini berwarna Jade Green, di mana ia menggunakan kemasan berkilat dan sangat licin. Memang cantik dan nampak seksi, tetapi ia tidak sesuai untuk saya yang telapak tangan mudah berpeluh. Peranti mudah menjadi kotor serta sukar dikendalikan. Ini menyebabkan saya terpaksa menggunakan kerangka pelindung dan tidak dapat menikmati rekaan cantik peranti ini.

PENGGUNAAN – Xiaomi HyperOS, Android 14

Saya amat mengharapkan yang Xiaomi HyperOS pada Xiaomi 14 akan mempunyai pelbagai ciri AI yang diumumkan semasa sistem operasi ini dilancarkan di China tahun lepas. Sayang sekali ia masih tidak disertakan. Oleh yang demikian, menggunakan HyperOS pada peranti ini adalah lebih kurang sama dengan peranti HyperOS lain dan juga MIUI.

Walaupun begitu, HyperOS pada Xiaomi 14 seakan diberi sentuhan istimewa kerana penggunaannya adalah lebih menyeronokkan dan selesa berbanding pada Xiaomi 13, Xiaomi 13T atau Poco X6 Pro. Ia lebih lancar, pantas serta kurang menggunakan kuasa kerana peranti mampu bertahan sepanjang hari dalam penggunaan berat.

Berikut adalah ciri kegemaran saya sementara menantikan kemas kini HyperOS serba baharu;

  • Kustomasi kunci skrin yang menarik.
  • Ciri AI buang atau tukar belakang.
  • Ciri AI Erase yang boleh buang bayang-bayang, objek asing, garisan mengganggu.
  • Art Framing, alternatif kepada tera air pada gambar yang lebih kemas dan cantik.
  • Kemampuan rakaman video yang lebih berkualiti.

Apa yang saya masih tidak boleh maafkan adalah, peranti mercu yang mungkin berharga hampir RM4000 masih mempunyai iklan. Kali ini saya sedari, iklan hanya terpapar dalam permua yang orientasinya menegak. Lain-lain sudah kurang seperti di dalam aplikasi Get Apps atau pada gedung tema sahaja.

CUBAAN KAMERA DI SEKITAR BARCELONA

100% saya amat berpuas hati dengan kamera Xiaomi 14. Saya tidak pasti adakah kerana pencahayaan dan suasana di Barcelona atau kamera peranti ini benar-benar menakjubkan. Perkara paling jelas berubah adalah kualiti potret yang semakin kemas dan cantik. Gambar HDR dan makro yang tajam serta penuh butiran. Sudut ultra lebar dan zum dapat menghasilkan warna yang cantik. Kemudian mod malam yang membuatkan saya teringat kepada Night Sight peranti Pixel.

CONTOH RAKAMAN VIDEO

Siri Xiaomi 14 turut memfokuskan kepada rakaman video. Jika pada model ini sudah cantik, apatah lagi pada model Ultra?

PRESTASI DAN PENANDA ARAS – SNAPDRAGON 8 GEN 3

Jika anda menyangkakan yang Xiaomi 14 akan mempunyai prestasi sama seperti iQOO 12 atau RedMagic 9 Pro anda salah. Walaupun ketiga-tiga peranti ini menggunakan cip yang sama. Skor penanda aras Xiaomi 14 hanya sedikit lebih tinggi berbanding Samsung Galaxy S24+. Ujian penanda aras yang saya lakukan adalah dengan AnTuTu 3D v10, Geekbench 6 dan 3DMark.

Antutu 3D

  • Xiaomi 14 – 1,773,520
  • Honor Magic6 Pro – 1,366,519
  • iQOO 12 – 2,075,821
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765
  • ASUS ROG Phone 8 – 1,953,486
  • RedMagic 9 Pro – 2,114,787

Geekbench 6

  • Xiaomi 14 – 1741/6313
  • Honor Magic6 Pro – 1362/4677
  • iQOO 12 – 2181/6631
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016
  • ASUS ROG Phone 8 – 3032/6373
  • RedMagic 9 Pro – 2153/6775

3D Mark Wildlife Extreme

  • Xiaomi 14 – 4499
  • Honor Magic6 Pro – 2492
  • iQOO 12 – N/A / 30.22 FPS
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 4657
  • ASUS ROG Phone 8 – 5236
  • RedMagic 9 Pro – 5231

3D Mark Solar Bay

  • Xiaomi 14 – 7722
  • Honor Magic6 Pro – N/A
  • iQOO 12 – 8528
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 8564
  • ASUS ROG Phone 8 – 8710
  • RedMagic 9 Pro– 8704

Snapdragon 8 Gen 3 masih tidak menyokong beberapa permua dengan baik. Misalnya Marvel Snap pada iQOO 12 dan Xiaomi 14 kerap tertutup dengan sendiri. Tetapi perkara ini tidak berlaku pada Galaxy S24+. Teori saya adalah, pada Xiaomi HyperOS dengan Snapdragon 8 Gen 3 – perisian masih belum mengadaptasi cip pemprosesan yang lebih baharu. Kemas kini baharu mungkin akan menyelesaikan masalah ini. Kemudian ada satu perkara lagi yang saya tidak gemar dengan peranti ini adalah ia mudah memanas.

PERBANDINGAN

Xiaomi 14Samsung Galaxy S24+iQOO 12
6.36″ LTPO AMOLED, 2670 x 1200, AdaptiveSync Pro 1-120Hz,
Xiaomi C8, 3000-nit,
Pro HDR, Dolby Vision
6.7″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, QHD+, 120Hz
HDR10+, 2600 nits
6.78″ AMOLED, 2800 x 1260, 144Hz,
Netflix HDR10+
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1x 3.3 GHz Cortex-X4
3x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 3.0 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Exynos 2400 (4nm)
1x 3.2GHz Cortex-X4
2x 2.9GHz Cortex-A720
3x 2.6GHz Cortex-A720
4x 1.95GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1x 3.3 GHz Cortex-X4
5x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Adreno 750Xclipse 940Adreno 750
12 GB LPDDR5X12 GB LPDRR5X16 GB LPDDR5X
256/512 GB UFS 4.0256/512 GB UFS 4.0512GB UFS 4.0
Kamera Utama
50MP f/1.6, Light Fusion 900, OIS (Sudut Lebar)
50/32 MP, f/2.0 (Telefoto)
50MP, f/2.2, Makro 10sm (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Utama
50 MP, f/1.8, (Sudut Lebar), OIS
10 MP, f/2.4, (Telefoto), OIS, 3x Zum Optikal
12 MP, f/2.2, (Sudu Ultra Lebar)
Kamera Utama
50MP f/1.76 OIS (Sudut Lebar)
64MP f/2.6 OIS, 3x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
50MP f/2.0 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.5
IP68IP68IP64
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4610mAh (Berwayar 90W)4900 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 120W)
EUR (12/256 GB)
EUR (12/512 GB)
RM4,899 (12/256 GB)
RM5,399 (12/512 GB)
RM3,399 (16/512 GB)

KESIMPULAN

Jika anda adalah pengguna Xiaomi 12 dan ke bawah, Xiaomi 14 adalah peranti yang sangat baik untuk dinaiktaraf. Tetapi jika anda pengguna Xiaomi 13, secara keseluruhan ia lebih kurang sama kecuali pada rakaman video. Prestasi peranti ini juga baik dengan ketahanan bateri yang bagus. Prestasi memuaskan, cuma masalah memanas dan masih ada beberapa aplikasi tidak berfungsi dengan baik. Tetapi ini boleh dibaiki dengan kemas kini akan datang. Saiz peranti yang kompak, binaan premium, skrin hebat dan pengecasan pantas – Xiaomi 14 semakin mencabar dengan kamera Leica.

PRO

  • Rekaan kompak, seksi dan premium.
  • Xiaomi HyperOS yang ringkas dan lancar.
  • Kualiti kamera Leica yang semakin menakjubkan.
  • Skrin yang sangat cantik dan terang.
  • Ketahanan bateri yang baik.

KONTRA

  • Tubuh mudah kotor dengan kotoran cap jari.
  • Speaker tidak cukup kuat.
  • HyperOS masih ada iklan menjengkelkan.
  • Peranti cepat memanas.
Komen