Carian
Microsoft Menguji Ciri Pemadam Ajaib Seakan Google Photos Pada OneDrive
March 13, 2024 Fahim Zahar

Sebelum semua orang sibuk dengan pelbagai jenis ciri AI Generatif, Google telah melakukannya terlebih dahulu pada peranti Pixel. Contohnya adalah ciri transkripsi audio pada perakam suara atau juga pemadam ajaib pada Google Photos. Untuk pemadam ajaib atau Magic Eraser, ia mula diperkenalkan untuk pengguna Pixel dan dikembangkan kepada pengguna Google One. Terbaru, Microsoft turut dilihat ingin menawarkan ciri sama pada OneDrive.

Pemadam ajaib pada OneDrive ditemui oleh Android Authority melalui aplikasi baharu yang bakal tiba. Ciri ini diberi nama sebagai Magic Erase yang turut boleh memadam objek pada latar imej dan AI akan isi dengan kandungan baharu. OneDrive turut akan memberi amaran kepada pengguna yang Magic Erase tidak boleh membuang objek atau sesuatu dengan sempurna.

Bagi yang menggunakan OneDrive, aplikasi Android telah pun mempunyai ciri suntingan gambar asas. Magic Erase akan menjadi sebahagian daripada ciri suntingan tetapi tidak pasti jika ia akan ditawarkan kepada pengguna iOS dan web. Buat masa ini masih tidak jelas bila Microsoft akan memperkenalkan ciri ini kepada semua.

Komen