Boeing 747-8 pada waktu ini ialah kapal terbang paling panjang di dunia dengan panjangnya mencecah 76.25 meter. Pesawat paling lebar pula ialah Scaled Composites Model 351 Stratolaunch dengan sayap selebar 117 meter. Tetapi rekod pesawat paling panjang di dunia bakal dipecahkan oleh Radia Windrunner.

Pesawat kargo ini menyasarkan tubuh sepanjang 108 meter, lebar 7.3 meter dan sayap sepanjang 80 meter. Tidak seperti Stratolaunch, Windrunner menyasarkan penggunaan dalam industri pembinaan generator elektrik kincir angin. Isu yang dihadapi sekarang ialah bilah kipas kincir yang terlalu panjang membuatkan ia tidak boleh dihantar menggunakan pesawat ataupun lori.

Windrunner direka untuk mendarat di kawasan landasan separa siap yang dibina di dalam kawasan pembinaan ladang kincir udara. Walaupun ia pesawat yang besar, ia dijangka boleh mendarat pada landasan sepanjang 1800 meter yang boleh dikategorikan sebagai pendek.

Selain mempunyai ruang kargo yang panjang, Windrunner juga mempunyai ruang kargo berkapasiti paling tinggi sekitar 8,200 meter padu. Proses rekaan prototaip Windrunner telah dimulakan tetapi tiada tarikh bila penerbangan pertama akan dilakukan.