Corning Gorilla Glass Armor adalah kaca pelindung baharu yang digunakan oleh Samsung pada Galaxy S24 Ultra. Kaca ini 4x ganda lebih tahan calar, 75% lebih hebat dalam mengurangkan silau dan diperbuat daripada 25% kandungan terpakai pengguna. MacRumors baru-baru ini melaporkan yang Apple turut mungkin sedang membangunkan kaca lebih kurang sama dengan Corning.
Seperti semua sedia maklum, iPhone baharu menggunakan kaca Ceramic Shield yang mempunyai ciri mirip Gorilla Glass Victus. Jadi apabila terdapat informasi tertiris yang Apple juga ingin bangunkan kaca yang lebih tahan lasak dan ada ciri anti-pantulan, ia mungkin akan memiliki ciri seakan Gorilla Glass Armor juga.

Mesin dan kelengkapan untuk memasang kaca ini dilaporkan telah pun tiba ke pembekal Apple. Menurut sumber, kaca baharu ini mungkin hanya akan diperkenalkan pada iPhone 17 kerana tidak cukup masa untuk digunakan pada iPhone 16. Dengan Samsung Galaxy S24 Ultra telah mempunyai skrin terbaik untuk telefon pintar, adakah skrin iPhone 17 nanti boleh bersaing?