Hujung tahun lalu, makmal Amanz mengulas soundbar mudah alih Sony HT-AX7 yang cukup menarik untuk mereka yang baru ingin memiliki set teater di rumah. Rekaannya kompak membolehkannya di bawa ke mana sahaja. Untuk merasai pengalaman pendengaran sebenar ekosistem teater rumah Sony, di makmal Amanz kini lengkap dengan soundbar Sony HT-S2000, woofer Sony SA-SW3 200W dan juga speaker belakang SA-RS3S 100W (50W x2).

Harga set lengkap untuk ketiga-tiga produk ini mencapai RM6,097. Tetapi Sony menawarkan diskaun HT-S2000 pada harga RM1799 (harga asa RM3199), SA-SW3 200W pada harga RM1259 (harga asa RM1399) dan SA-RS3S pula pada harga RM1349 (harga asa RM1499). Ini menjadikan set lengkap ini berharga RM4407. Ia adalah hampir dua kali ganda harga HT-AX7, adakah berbaloi untuk berbelanja lebih RM2200 tambahan? Saya akan perjelaskan dalam artikel ini.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Ulasan ini lebih kepada Sony HT-S2000, tetapi memandangkan soundbar ini menyokong tambatan ajaib dengan speaker belakang SA-RS3S dan juga woofer SA-SW3 jadi saya uji kesemuanya sebagai satu ekosistem set teater rumah yang lebih mampu milik berbanding JBL Bar 1000.

Sony HT-S2000
Soundbar ini menggunakan sistem amplifier digital S-Master 5-saluran dengan kuasa 250W. Subwoofer telah pun hadir secara terbina dengan pemandu audio dalam struktur speaker 3.1-saluran. Soundbar ini menyokong sambungan Bluetooth 5.2 atau juga HDMI eARC yang menyokong audio Dolby serta codec AAC dan SBC.

Terdapat ciri menarik disertakan iaitu Sound Field yang menggunakan mikrofon terbina untuk menala kualiti audio agar sesuai dengan ruang seperti dalam bilik atau di ruang tamu. Ciri ini menjadikan rumah seakan di panggung wayang kerana sistem S-Force Pro, Vertical Surround Engine dan/atau DTS Virtual: X disertakan untuk audio imersif yang menakjubkan.

Sony SA-SW3 200W
SA-SW3 adalah subwoofer tambahan dengan kuasa 200W. Ia menyokong sistem sambungan Wireless Surround oleh Sony yang boleh bersambung dengan HT-S2000 secara automatik. Berat subwoofer ini adalah 10.5 kilogram dan ia turut menggunakan sistem amplifier digital dan S-Master cuma terhad kepada 1-saluran. SA-SW3 menjanjikan bass yang lebih dalam dan boleh berdentum dengan lebih kencang. Rekaan dari dalaman sehingga luaran adalah sangat terperinci seperti pemandu audio dengan litar magnetik dengan Seperated Notch Edge.


Sony SA-RS3S 100W
Akhir sekali adalah set speaker belakang SA-RS3S dengan kuasa 100W, iaitu 50W pada unit kiri dan 50W pada unit kanan. Sama seperti SA-SW3, kedua-dua speaker ini turut menyokong sistem tambatan Wireless Surround dan menggunakan amplifier digital serta S-Master dengan 2-saluran. Speaker ini turut tidak boleh digunakan secara kendiri kerana memerlukan HT-S2000 tadi untuk berfungsi dengan sebaiknya.


KUALITI AUDIO
Sony menggunakan algoritma tersendiri bagi memastikan audio yang seimbang dapat dihasilkan. Suara wanita dan suara lelaki adalah seimbang dengan set teater ini berbeza dengan HT-AX7. Terbukti di sini yang saiz memainkan peranan. Jadi tidak kira menonton filem atau ingin menyaksikan konsert, vokal akan kedengaran jelas dan sedap.

Nada tinggi yang set teater Sony ini hasilkan turut sedap didengari dan selesa. Ia tidak terlampau tajam dan nyaring tetapi kesan pasca-proses pendigitalan itu masih kedengaran. Ini saya boleh terima kerana merupakan set teater kelas pertengahan. Algoritma Sony yang pelbagai adalah jenis adaptif yang boleh menentukur kualiti audio mengikut situasi dan kandungan yang dimainkan.

Seperti pada HT-AX7, Sound Field pada set teater ini turut mampu menjadikan ruang tamu atau dalam studio kami seakan sistem audio dalam panggung – masih sama iaitu untuk ruang yang tidak begitu besar. Menonton siri TV 3 Body Problem dan cuba memainkan filem The Batman, set teater ini memberi saya pengalaman yang cukup memuaskan.

Apa yang saya sedari, walaupun soundbar Sony HT-S2000 telah dipadankan dengan woofer SA-SW3 dan juga speaker belakang SA-RS3S – ia masih tidak mampu bersaing dengan JBL Bar 1000. JBL Bar 1000 mampu mengeluarkan audio yang sangat enak, kuat dan bass yang menggegarkan siling studio Amanz.
KAWALAN DAN APLIKASI
Untuk mengawal kesemua speaker ini, ia perlu disambungkan dengan aplikasi Home Entertainment Connect. Ini adalah antara aplikasi audio paling mesra pengguna pernah saya gunakan. Buka sahaja aplikasi ia terus mengesan speaker yang berada di dalam bilik. Satu ditambat, dua yang lain akan terus tertambat sendiri dengan sistem Wireless Surround. Aplikasi yang ringkas ini sesuai digunakan oleh sesiapa sahaja dan pasti akan tahu ingin kawal apa untuk keselesaan masing-masing.

Alat kawalan jauh turut diberi dengan saiz yang kompak. Butang-butang fizikal adalah untuk semua ciri penting seperti hidup/mati Sound Field, tukar input, laras bass atau juga aras suara. Butang sedap ditekan tetapi sepanjang penggunaan saya banyak menggunakan aplikasi sahaja kerana lebih selesa. Alang-alang sudah semak notifikasi pada telefon, buka sahaja aplikasi untuk kawal set teater.

APA ADA DALAM KOTAK
Berikut adalah apa yang anda akan dapat dengan setiap pembelian;
Sony HT-S2000
- 1x HT-S2000
- 1x Kabel HDMI eARC
- 1x Kabel kuasa
- 1x Alat kawalan jauh
- 1x Set buku panduan dan keselamatan
Sony SA-SW3
- 1x SA-SW3
- 1x Set buku panduan dan keselamatan
Sony SA-RS3S
- 1x SA-RS3S Kiri
- 1x SA-RS3S Kanan
- 1x Set buku panduan dan keselamatan
KESIMPULAN
Pengalaman saya dengan Sony HT-AX7 dan set HT-S2000 ini tidak jauh beza. Ini kerana kedua-duanya masih menggunakan profil audio Sony yang sama dan iaitu kualiti audio kelas pertengahan. Tetapi untuk bass dan kelantangan HT-S2000 adalah yang terbaik kerana saiz. Vokal dan nada tinggi juga lebih enak tetapi kesan imersif yang dihasilkan pada saya tidak cukup memuaskan.

Kalau beza harga antara HT-AX7 dan set HT-S2000 adalah sekitar RM2000 iaitu harga yang agak mahal lagi-lagi sudah mendekati Aidilfitri, saya rela kekal menggunakan HT-AX7 kerana ia ada bonus tambahan iaitu boleh di bawa ke mana sahaja. Kalau saya ingin tambah duit yang sudah capai ribu, saya akan pilih set teater kelas mercu untuk pengalaman yang lebih memuaskan.
PRO
- Rekaan yang minimalis dan moden.
- Soundbar yang mudah dipasang dan dikawal.
- Audio yang lebih enak dan lantang berbanding menggunakan speaker biasa.
- Antara set teater lengkap dengan harga bajet (Soundbar, Woofer dan speaker belakang (satelit))
KONTRA
- Bukan model baharu dan selepas bertahun lamanya barulah lebih mampu milik.
- Nada tinggi masih kedengaran kesan pasca-proses digital.
- Codec terhad kepada AAC dan SBC.
- Kualiti audio tidak jauh beza dengan produk lain dalam siri HT yang lebih murah.
