Carian
Ulasan Sony HT-AX7 – Betah Menanti Audio Sony Yang Gah
November 3, 2023 Fahim Zahar

Produk audio yang kerap tiba di makmal Amanz biasanya adalah set fon kepala atau set fon telinga. Tetapi sejak kami mula menguji televisyen dan soundbar, semakin banyak peluang kami menguji pelbagai jenis speaker yang lain. Terbaru adalah Sony HT-AX7 iaitu sebuah “soundbar” mudah alih pertama daripada Sony.

Saya katakan HT-AX7 ialah sebuah “soundbar”, walaupun ia bersaiz kecil. Tetapi menerusi dua speaker satelit berbentuk bulat ia berubah menjadi menjadi set teater rumah dengan audio imersif. Speaker ini adalah speaker mudah alih Sony yang dimuatkan dengan teknologi soundbar mercu Sony seperti 360 Spatial Sound Mapping, tetapi persoalannya adalah RM2299 berbaloi untuknya?


SPESIFIKASI DAN REKAAN

Sony HT-AX7
JenisSpeaker/Soundbar mudah-alih
Pemacu AudioAmplifier S-Master
MikrofonTiada
BateriKetahanan mencapai 30 jam
10 minit cas, tahan 150 minit
TambatanBluetooth 5.2
CodecAAC, SBC
PengecasanUSB-C
KawalanButang fizikal
Aplikasi Android/iOS – Home Entertainment Connect
Harga JualanRM2299

Sony HT-AX7 ini adalah speaker mudah alih dengan berat keseluruhan sekitar 2 kg sahaja. Berat speaker utama adalah 1.4 kg, sementara dua speaker berbentuk bulat pula adalah sekitar 0.3 kg setiap satu. Permukaan HT-AX7 ini dilindungi dengan fabrik berwarna kelabu yang agak longgar yang memberikan kerisauan ia mudah terkoyak. Saya kurang gemar dengan kemasan kain kerana berdasarkan pengalaman menggunakan speaker Altec Lansing di universiti dahulu ia akan memerangkap debu dan kotoran lebih mudah berbanding kekisi logam.

Sony cuba membawakan ciri soundbar mercu mereka iaitu 360 Spatial Sound Mapping dan juga menggabungkan teknologi WF-1000XM5 dengan menggunakan pemandu audio jenis amplifier S-Master. Cuma untuk codec ia terhad kepada SBC dan AAC sahaja tanpa sokongan LDAC untuk audio nirhilang yang agak aneh. Kenapada tiada skonga LDC sedangkan ia boleh diberikan kepada TWS bersaiz kompak mereka. Permukaan speaker dipenuhi dengan butang-butang yang mudah dan sedap ditekan. Turut tersedia adalah lampu LED untuk paparan kawalan yang telah dilakukan.

Speaker utama mempunyai kuasa 45W sementara dua satelit berkuasa 3W setiap satu. Mod audio terhad kepada satu sahaja iaitu Sound Field untuk audio imersif. Bateri dikatakan boleh bertahan sehingga 30 jam dengan pengecasan USB-C serta sambungan speaker pula adalah dengan Bluetooth 5.2. Bahagian magnet pada setiap piring turut tidak cukup kuat dan tidak selamat jika diletak pada permukaan besi yang condong. Ini memaksa pengguna meletakkannya di atas permukaan rata.

Rekaan speaker ini juga amat ringkas dan moden. Ia adalah untuk pengguna yang sukakan tema minimalis dan berwarna kelabu. Speaker ini kelihatan kemas diletakkan sama ada di bawah televisyen atau di sekitar dalam bilik. Dengan rekaan nirwayar, ia turut tidak akan mengganggu pemandangan ketika menonton televisyen. Masalah satu port USB-C ini adalah ia terhad kepada pengecasan sahaja dan tidak boleh menjadi output kepada peranti lain.

Speaker ini datang dalam kotak mesra alam semula jadi, yang kini menjadi trend untuk kebanyakan produk Sony. Ia adalah seakan kotak telur yang lembut. Tetapi pembungkusan seperti ini tidak memberi keyakinan kepada saya untuk melakukan tempahan atas talian kerana ia seakan tidak selamat dan bergoyang-goyang di dalam kotak. Jika anda pernah melihat Sony WF-C700N atau WF-1000XM5, kotaknya adalah lebih kurang sama cuma saiz lebih gergasi.

KUALITI AUDIO

Sebagai pengguna yang menghargai profil audio Sony yang enak pada siri XM3, XM4 dan XM5 – saya mempunyai harapan tinggi yang speaker mudah alih ini akan menawarkan audio yang lebih kurang sama. Jadi majoriti penggunaan saya menjadikan Sony HT-AX7 ini sebagai speaker utama untuk televisyen di rumah.

Mengejutkan yang speaker ini masih mampu memberikan dentuman bass yang baik walaupun tidak mempunyai subwoofer. Lebih-lebih lagi pada bahagian subbass yang biasanya memberikan sesuatu kandungan dinamik tambahan. Secara keseluruhan, bass yang disampaikan speaker ini adalah menyeronokkan dan berada di luar jangkaan saya.

Speaker ini adalah speaker yang direka untuk ruang bilik yang kecil. Ini adalah seakan Devialet Mania yang saya uji dahulu, di mana audio speaker akan menjadi kurang memuaskan di kawasan yang besar. Sony menggunakan algoritma tersendiri bagi memastikan audio yang seimbang dapat dihasilkan. Suara wanita tidak kira dalam muzik atau filem akan kedengaran lebih jelas dan terang berbanding suara lelaki yang tenggelam lagi-lagi jika inginkan bass yang dalam.

Untuk nada tinggi, ia masih baik dan jelas cuma ia tidak cukup memuaskan kerana tidak mencapai tahap yang saya inginkan. Highs padanya tidak begitu semula jadi kerana telah melalui pasca-proses pendigitalan yang tinggi.

Keunikan pada Sony HT-AX7 adalah mod audio Sound Field yang memberi bayangan pengguna memiliki set teater rumah yang lengkap. Setiap speaker piring ini boleh diletakkan di sebelah kiri dan kanan katil atau sofa sementara speaker utama di televisyen. Ia seakan menjadikan bilik pengguna dewan wayang mini.

Pengalaman yang menarik tetapi ia tidak cukup lebar dan luas. Suara yang dikeluarkan oleh setiap speaker satelit ini tidak begitu jelas dan sama-samar. Ini tidak bermakna satu ciri yang teruk, tetapi adalah cubaan yang bagus untuk produk generasi pertama yang saya yakin Sony akan perbaiki dan menjadikannya lebih hebat dalam generasi kedua HT-AX7 nanti.

KAWALAN DAN APLIKASI

Speaker ini boleh dikawal sama ada dengan butang fizikal terbina atau aplikasi Sony Home Entertainment. Tetapi disebabkan sepanjang penggunaan speaker berada di televisyen, pada hemat saya mengawal dengan aplikasi adalah cukup bagus dan memudahkan. Aplikasi menawarkan kebolehan mengawal laras suara, hidup/matikan Sound Field, mod malam yang mengurangkan dentuman bass agar tidak bergegar, atau mod suara untuk memfokuskan vokal berbanding suara latar.

AX7 tiada port audio 3.5mm, optikal atau HDMI untuk sambungan kepada peranti. Sebaliknya bergantung sepenuhnya secara nirwayar sahaja. Walaupun ketiadaan LDAC, Sony masih mampu menawarkan audio yang kurang sela masa. Cuma sambungan nirwayar seperti yang semua tahu, ia tidak cukup stabil dan sambung boleh terputus secara tiba-tiba.

Antara isu yang saya hadapi adalah speaker ini terus tidak mengeluarkan bunyi ketika menonton Netflix. Isu ini biasanya boleh diselesaikan dengan membuang speaker dan melakukan tambatan lagi sekali. Isu seperti ini saya yakin boleh diselesaikan dengan kemas kini perisian sahaja.

BATERI

Sony mendakwa bateri HT-AX7 ini boleh bertahan sehingga 30 jam. Ia bukanlah satu ketahanan yang baik untuk speaker mudah alih tetapi sudah memadai. Sepanjang penggunaan sekitar dua jam satu hari selama dua minggu untuk menonton filem dan mendengar muzik, speaker ini tiada masalah untuk digunakan dengan sekali cas. Malah dengan 10 minit pengecasan, ia boleh bertahan sehingga 150 minit yang cukup untuk 3-4 episod siri TV atau satu filem.

APA ADA DALAM KOTAK

Berikut adalah apa yang anda akan dapat dengan setiap pembelian Sony HT-AX7;

KESIMPULAN

Saya amat sukakan konsep speaker mudah alih yang Sony cuba tawarkan ini. Ia adalah soundbar di rumah dan speaker yang boleh di bawa ke mana sahaja seperti berkelah atau berkhemah. Fungsi yang tersedia adalah asas yang sesuai untuk semua pengguna dan tidak begitu rumit dengan tetapan dalam aplikasi serta tetapan ketika memasang speaker ini di rumah. Audio yang dibawakan juga memuaskan untuk produk generasi pertama. Tetapi dengan codec yang terhad kepada SBC dan AAC, saya agak kecewa kerana Sony tidak memberikan sokongan LDAC pada speaker yang berharga RM2299 ini.

Saya telah pun memulangkan speaker ini kepada Sony Malaysia. Untuk saya memiliki speaker ini, saya mungkin akan menantikan generasi kedua dengan harapan ada sokongan audio yang lebih baik, port yang lebih banyak serta algoritma audio yang setanding dengan sekurang-kurangnya profil audio pada WF-1000XM5 atau WH-1000XM5.

PRO

  • Rekaan yang minimalis dan moden.
  • Speaker mudah alih yang unik.
  • Aplikasi dan penggunaan yang memudahkan pengguna.
  • Audio yang mantap dengan ciri seakan soundbar mercu Sony.

KONTRA

  • Codec terhad kepada AAC dan SBC, tiada sokongan LDAC.
  • Sambungan USB-C terhad untuk pengecasan bukan output.
  • Tidak tahan lasak.
  • Harga yang agak mahal untuk speaker mudah alih.

*Ulasan ini ditulis oleh Li Jin Soh dengan penterjemahan dan teks tambahan Fahim Zahar

Komen