Pada saat ini saya yakin yang sudah ramai tahu Sony adalah nama besar dalam dunia audio. Fon kepala WH-1000XM4, WH-1000XM5 dan TWS WF-1000XM4 mempunyai reputasi kemampuan audio yang tinggi. Tidak dinafikan juga harga produk audio Sony cukup premium jika dibandingkan dengan produk audio keluaran jenama China. Tetapi bagaimana jika Sony ada produk audio premium yang berkualiti tetapi pada harga yang lebih mampu milik?
Produk ini adalah TWS terbaru mereka iaitu WF-C700N. Set fon telinga nirwayar sebenar ini kecil dan kompak, ringan dan mudah di bawa atau simpan di mana sahaja serta dimuatkan dengan banyak ciri dan fungsi audio yang ada pada produk seperti XM4 dan XM5. Adakah C700N ini untuk semua orang atau hanya untuk penggemar jenama Sony yang ingin berjimat?
SPESIFIKASI
Sony WF-C700N | |
---|---|
Jenis | TWS fon dalam telinga |
Pemacu Audio | 5mm Enjin audio Sony DSEE (Digital Sound Enhancement Engine) |
Mikrofon | Mikrofon depan Anti-bunyi angin Dakwaan kualiti panggilan terjamin |
Sensor | Tida |
Bateri | 10 jam berterusan |
Tambatan | Bluetooth 5.2 Google Fast Pair Microsoft Swift Pair Sambungan ke dua peranti serentak |
Codec | AAC, SBC |
Pengecasan | USB-C Cas 10 minit, tahan 1 jam |
Sokongan aplikasi | Sony│Headphones Connect Android, iOS |
Kawalan | Sentuhan |
Kemampuan kalis air | IPX4 |
Harga Jualan | RM549 |
Jika anda rujuk jadual di atas itu adalah spesifikasi rasmi bagi TWS baharu Sony ini. WF-C700N adalah TWS kelas pertengahan sahaja dengan spesifikasi yang biasa kerana tiada pembatalan hingar aktif (ANC). Pemacu audio pula agak kecil 5mm, codec pula hanya SBC dan AAC dan menggunakan Bluetooth 5.2 bukannya yang terkini iaitu 5.3.
Sekali pandang anda akan rasakan Nothing Ear (2) mungkin lebih berbaloi untuk dimiliki. Ciri dan fungsi yang lebih baik termasuk sokongan pengecasan nirwayar, sokongan LHDC 5.0 untuk audio nirhilang dan rekaan unik yang tiada pada Sony. Apa yang Sony tawarkan adalah binaan daripada bahan kitar semula, saiz kecil dan kompak serta ciri audio daripada TWS premium mereka.
Ini bermakna anda akan dapat menggunakan enjin audio DSEE iaitu Digital Sound Enhancement Engine, menggunakan ciri audio adaptif yang boleh mengubah tahap pembatalan hingar secara pintar, 360 Reality Audio dan 360 Spatial Sound Personalizer. CF-700N turut menyokong multipoint connection iaitu sambungan ke dua peranti serentak.
REKAAN
Sony WF-C700N adalah cukup selesa kerana ia sangat ringan. Ia ergonomik dan dikatakan sesuai dengan semua telinga manusia. Bahan binaan pula dikatakan adalah daripada bahan yang dikitar semula bagi menjadikan produk mereka lebih lestari.
Rekaan yang tidak rumit ini hanya mempunyai port USB-C di luar dengan satu butang tambatan. Kerangka pengecasan hadir dalam bentuk bujur yang kecil seakan saiz bateri 9V tetapi lebih panjang. Kemasan juga selesa dan rasa seakan kadbod tebal.
Bahan binaan putik telinga adalah silikon yang lembut yang membuatkan apabila berada dalam telinga saya seakan tidak rasa apa-apa. Tetapi pada masa yang sama boleh memastikan audio tidak tertiris keluar dan penggunaan jangka masa panjang tidak akan menjadi masalah. Dua pasang lagi putik silikon sepasang lebih besar dan sepasang lebih kecil diberikan dengan setiap pembelian. Jadi jika putik saiz sederhana tidak serasa dengan telinga, dua putik tambahan ini boleh membantu.
KUALITI AUDIO
Jangan terkejut dengan pemacu audio 5mm yang kecil pada TWS ini. Kecil-kecil cili padi, besar-besar limau abung. Kualiti audio yang dihasilkan masih ada profil audio Sony yang dikenali ramai. Ia tidak cuba menjadi WF-1000XM4, tetapi memberi keselesaan kepada pemakai dan boleh memberikan bass yang baik.
BASS/LOWS
Dentuman bass Sony yang saya kenal itu dapat dialami pada fon telinga Sony WF-C700N ini iaitu tidak terlampau kuat dan cukup seimbang. Instrumen seperti dram boleh dengar dengan jelas dan dapat membezakan dengan bunyi suara dalam penyanyi lelaki. Bercakap mengenai penyanyi, suara lelaki adalah lebih merdu berbanding suara wanita yang agak nipis.
VOKAL/MIDS
Vokal pada set fon telinga nirwayar ini baik sekali. Saya cukup terkejut apabila suara perbualan dalam episod podsiar boleh dengar dengan jelas. Untuk muzik saya amat gemar menggunakan WF-C700N untuk muzik yang banyak memfokuskan kepada vokal. Ia jelas dan lantang, tidak tenggelam dan pengguna akan berasa selesa dan tenang sahaja.
NADA TINGGI/HIGH
Di sini saya mula dapat rasa kelemahan Sony WF-C700N. Nada tinggi walaupun boleh mencapai pada tahap nyaring yang baik ia seakan tidak begitu jelas. Ia seakan tidak mempunyai tenaga untuk terus mendaki ke puncak yang paling tinggi dan terus semput selepas mencapai 70%. Walau bagaimanapun dengan Lows dan Mids yang baik ia membantu memberikan audio yang seimbang dan cukup memuaskan.
PEMENTASAN DAN PENGASINGAN AUDIO
Dengan audio yang seimbang dan selesa ini memudahkan saya untuk membezakan antara vokal dan instrumen serta kedudukan masing-masing. Dengan TWS ini saya boleh katakan Sony berjaya menggunakan teknologi perisian mereka seperti DSEE untuk menjadikan audio format biasa ke kualiti lebih baik. Saya dapat mendengar dengan jelas lokasi setiap instrumen.
Akan tetapi disebabkan saiz pemacu audio yang kecil ia mempunyai kemampuan yang terhad. Pementasan audio pada TWS ini rasa sempit dan cepat lemas untuk penggunaan jangka masa panjang. Jangan salah faham, saiz yang kecil ini benar-benar selesa dalam telinga saya tetapi tahap gelombang audio untuk memberi ruang ia bermain dalam kepala saya itu penting. Jadi saya hanya menggunakan TWS ini untuk podsiar dan muzik sahaja.
CIRI PREMIUM SONY
Apa yang menjadikan Sony WF-C700N ini menarik adalah ciri premium WF-1000XM4 disertakan iaitu Ambient Sound Control yang boleh mengubah mod pendengaran dari pembatalan hingar, ambien (mod tembus bunyi) dan matikan. Mod ini akan bertukar apabila mikrofon mengesan ada individu ingin bercakap dengan si pemakai C700N.
Sony menggunakan mikrofon dengan teknologi anti-bunyi angin untuk memastikan ciri ini boleh digunakan dengan baik. Walaupun tiada pembatalan hingar aktif, bahan binaan putik telinga C700N yang lembut menjadikan ia menyokong pembatalan hingar pasif yang memuaskan.
Ciri premium lain adalah Adaptive Sound Control yang mana mengubah mod-mod pendengaran tadi berdasarkan pergerakan pengguna. Misalnya jika duduk diam dalam kereta api pembatalan hingar diaktifkan dan jika berjalan kaki di luar mod ambien pula aktif agar menyedari apa yang berlaku di sekeliling.
Selain menyokong mengubah format audio MP3 kepada kualiti lebih tinggi dengan DSEE, C700N turut menyokong 360 Reality audio untuk pengalaman pendengaran imersif seakan audio spatial Apple.
APLIKASI
Seperti produk audio Sony yang lain WF-C700N turut menggunakan aplikasi Sony | Headphones Connect untuk kawalan dan tetapan. Saya kurang gemar dengan antaramuka aplikasi ini kerana mengelirukan dan kurang teratur. Jadi apa saya lakukan adalah selepas selesai tambat, saya terus lakukan tetapan yang saya inginkan kemudian terus tidak membuka aplikasi ini.
Dengan aplikasi ini status bateri boleh dipantau serta mod pedengaran yang sedang aktif juga dapat dilihat. Sony turut menawarkan pemain media mini, tetapan untuk tambatan ke dua peranti serentak, sistem equiliser, kawalan DSEE atau juga 360 Reality Audio.
Aplikasi ini turut membenarkan pengguna mengubah kawalan butang fizikal terbina pada setiap fon telinga. Untuk kawalan pada saya agak sukar kerana saiz fon telinga yang kecil. Setiap kali butang ditekan pasti akan tertekan lagi putik telinga ke dalam telinga. Seperti tekan sekali untuk main, jeda, atau ubah mod-mod pendengaran. Paling penting aplikasi ini juga adalah untuk mengemaskini perisian TWS.
BATERI
Sony mendakwa yang TWS kompak baharu mereka ini boleh bertahan sehingga 10 jam untuk penggunaan berterusan. Saya boleh katakan dengan menggunakan Bluetooth 5.2 yang tenaga rendah, lebih efisien dengan jaminan sambungan yang lebih stabil saya boleh katakan dakwaan Sony ini benar.
Untuk penggunaan saya yang bergantung kepada Ambient Sound Control dan Adaptive Sound Control ketahanan bateri adalah sekitar 6 jam sahaja. Pengecasan pula 10 minit cas boleh guna untuk 1 jam melalui USB-C yang mana memadai untuk TWS saiz seperti ini.
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Sepasang putik audio Sony WF-C700N.
- 1x Pod pengecas.
- 2x Pasang putik telinga silikon.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
KESIMPULAN
Sony WF-C700N adalah untuk mereka yang ingin mencuba produk Sony seperti pada WF-1000XM4 pada harga lebih mampu milik. Dengan saiz yang lebih kecil ia juga mudah untuk disimpan dan di bawa ke mana sahaja. TWS ini juga dibina dengan bahan yang telah dikitar semula dan sesuai untuk mereka yang menyokong inisiatif ini.
Paling penting pada harga RM549 anda dapat menikmati profil audio premium Sony yang setara dengan TWS mereka yang dijual pada harga RM1099. Tetapi anda perlu ingat TWS akan terhad kepada codec SBC dan AAC sahaja. Tiada LDAC, tiada pembatalan hingar aktif, tiada pengecasan nirwayar dan pengalaman audio juga lebih kepada peminat Sony sahaja.
Alternatif adalah Nothing Ear (2) yang menawarkan kualiti audio lebih merdu dan ciri menarik yang lebih premium pada harga RM549. Bagi yang ingin lebih berjimat Samsung Galaxy Buds2 kini dijual pada harga RM499 dengan ANC, pengecasan nirwayar, audio 360, mod tembus dan putik telinga yang ringan.
Pro
- Rekaan yang kecil, ringan dan kompak.
- Bahan binaan kitar semula.
- Kualiti audio yang enak.
- Padat dengan ciri premium pada harga mampu.
Kontra
- Tiada sokongan pembatalan hingar aktif (ANC).
- Tidak menyokong penstriman audio kualiti tinggi (SBC, AAC sahaja).