Setiap kalinya tibanya lebaran pada setiap tahun, kami di Amanz pastinya tidak lupa untuk mengeluarkan senarai peranti-peranti terbaik raya untuk beberapa kategori. Demikian tahun ini kami kembali dengan senarai peranti terkini untuk kategori peranti pertengahan premium. Lambakan peranti dengan spesifikasi mantap menjadikan kategori ini paling kompetitif.
Mengikut tradisi kami di Amanz, senarai Peranti Terbaik Raya kami sampaikan kepada anda. Ini ialah anugerah awal tahun yang merangkumi peranti terbaik setakat ini. Dengan duit raya yang akan dikumpul nanti, ini ialah peranti-peranti yang kami sarankan kerana dirasakan berbaloi untuk dimiliki oleh pembaca semua.

Kriteria Pemilihan
- Telah kami ulas di Amanz.
- Sedang kami ulas di Amanz.
- Harga bukan penghalang.
- Prestasi baik untuk kelasnya.
- Dilancarkandi Malaysia selewat-lewatnya Disember 2023.
Tempat Ketiga – Nothing Phone (2a)

Nothing Phone (2a) mempunyai rekaan paling unik setakat ini kerana kehadiran panel belakang lut sinar dengan sistem LED Glyph. Kelebihannya bukan saja terletak pada rekaan semata-mata bahkan spesifikasi peranti ini juga menjadikannya tidak kurang hebat.
Peranti ini menggunakan cip pemproses MediaTek Dimensity 7200 Pro yang memberikan pengalaman penggunaan yang lancar tanpa masalah. Paparan skrin juga baik dengan saiz 6.7″ AMOLED dengan kamera 50+50MP utama dan swafoto 32MP. Salah satu sebab mengapa ia berada di tempat ketiga adalah kerana sokongan pengecasan sekadar 45W. Tetapi kapasiti bateri 5000 mAh cukup besar untuk ketahanan sepanjang hari.
Spesifikasi: 6.7″ AMOLED 120Hz, MediaTek Dimensity 7200 Pro (4nm) (2X 2.8 GHz Cortex-A715 + 6X 2.0 Cortex-A510), 12GB RAM, storan 256GB, 50MP (Sudut lebar), 50MP (Ultra Lebar), 32MP (Swafoto), 5000 mAh (45W), Android 14.
Harga: RM1699 (12/256GB)
Tempat Kedua – Vivo V30 Pro

Di tempat kedua pula ialah Vivo V30 Pro yang cukup istimewa kerana kamera dengan lensa ZEISS berserta fungsi Aura Light sebagai sistem pencahayaan untuk rakaman video. Jika Nothing Phone (2a) mempertaruhkan gaya, V30 Pro pula mempertaruhkan kemampuan kamera. Kameranya utaram terdiri daripada 50MP (sudut lebar), 50MP (ultra lebar), 50MP (potret) manakala kamera swafotonya ialah 50MP. Sistem kamera V30 Pro memang menakjubkan untuk kelas pertengahan premium.
Cip pemproses MediaTek Dimensity 8200 cukup berkuasa dengan memori sebesar 12GB RAM, storan dan 512GB. Bateri 5000 mAh pula menyokong menyokong pengecasan pantas 80W. V30 Pro bukan juara kategori ini kerana menggunakan speaker mono. Sukar dimaafkan pada peranti dengan harga jualan mencecah RM2599.
Spesifikasi: 6.78” AMOLED HDR10+ 120Hz, MediaTek Dimensity 8200 (4nm) (1X 3.1 GHz Cortex-A78 + 3X 3.0 GHz Cortex-A78 + 4X 2.0 GHz Cortex-A55), 12GB RAM, storan 512 GB, 50MP (Lebar) OIS, 50MP (Potrait), 50MP (Ultra-lebar), 50MP (Swafoto), 5000 mAh (80W), Android 14.
Harga: RM 2599 (12/512GB)
Juara – Redmi Note 13 Pro+

Juara untuk peranti terbaik raya Amanz bagi kategori pertengahan premium ialah Redmi Note 13 Pro+. Ia juara kerana ia telefon pintar yang cukup lengkap. Skrin 6.67″ AMOLED 120Hz menyokong paparan HDR Dolby Vision. Cip MediaTek Dimensity 7200-Ultra yang digunakan juga menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam pelbagai situasi ketika peranti diulas.
Kekuatan utama pada peranti ini ialah terletak pada kamera utama 200MP (Sudut lebar), 8MP (Ultra Sudut Lebar), 2MP (Makro) dan kamera swafoto 16MP. Hasil gambar adalah cukup baik, tajam bersama perincian yang terpelihara. Bateri 5000 mAh pula mengecas pada kuasa 120W serta ia hadir dengan speaker stereo, pemancar IR dan kemampuan kalis air IP68. Seperti kami katakan tadi peranti ini cukup lengkap.
Spesifikasi: 6.67” CrytalRes AMOLED, 120Hz, MediaTek Dimensity 7200 (4nm) (2X 2.8 GHz Cortex-A715 + 6X 2.0 GHz Cortex-A510), 8/12GB RAM, storan 256/512 GB, 200MP (Lebar) , 8MP (Ultra Sudut Lebar), 2MP (Makro), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (120W), Android 13.
Harga: RM 1599 (8/256 GB) , RM1999 (12/512 GB)
Demikian ini adalah senarai peranti terbaik dalam kategori Pertengahan Premium untuk Hari Raya 2024.