Carian
Nothing Telah Menjual 3 Juta Produk, Dua Lagi Peranti Bakal Dilancarkan
April 5, 2024 Fahim Zahar

Carl Pei mengumumkan yang dalam tempoh 3 tahun Nothing diperkenalkan kepada dunia, mereka telah berjaya menjual 3 juta produk. Ini termasuk dengan telefon pintar Nothing Phone, barangan audio Nothing Ear, produk sub-jenama CMF by Nothing, pelbagai aksesori dan juga pakaian. Akan datang, Nothing bakal melancarkan beberapa produk lagi.

Video acah pertama memfokuskan seekor kumbang dan seekor katak berwarna kuning. Ramai meneka yang ia adalah maskot lama Nothing Ear melompat bagi menggantikan maskot baharu. Kemudian, Nothing mengumumkan nama “Play Date” yang tiada kaitan dengan konsol Playdate walaupun kedua-dua produk syarikat ini direka oleh Teenage Engineering tetapi telah disahkan ia tiada kaitan.

Acara “Play Date” ini akan berlangsung pada 18 April dan orang ramai menjangka ia adalah untuk Nothing Ear (3) dan mungkin Nothing Ear (stick 2). Kemudian Dylan Roussel, peniris terkenal mendedahkan yang Nothing ada dua kod nama untuk produk rahsia iaitu Tetris dan Pacman Pro. Pacman adalah kod nama bagi Nothing Phone (2a) dan dengan Nothing bakal melancarkan edisi komuniti, Pacman Pro mungkin adalah kod nama bagi peranti baharu ini.

Untuk Tetris ia masih menjadi misteri. Jadi tidak pasti adakah ia untuk Nothing Phone (3) atau Nothing Ear baharu? Sama-sama kita nantikan 18 April akan datang untuk menantikan produk baharu yang bakal tiba.

Komen