Sejak tahun lepas lagi sudah kedengaran yang Google akan memberikan pilihan kepada pengguna Android sama ada ingin menggunakan Google Assistant atau Gemini (ketika itu Bard) dengan satu suis mudah. Tetapi aneh sekali ia masih tidak diberikan kepada peranti Android dan ciri suis untuk tukar dari satu pembantu maya ke yang lain ini hanya diberikan kepada pengguna iPhone.

Pada peranti Android sekarang, anda perlu pergi ke tetapan Gemini untuk pilih salah satu pembantu maya biasa atau dengan kecerdasan buatan generatif. Ia agak leceh berbanding pada aplikasi Google di iOS dengan suis mudah. Menurut AssembleDebug dan PiunikaWeb, aplikasi Google baharu untuk Android dengan suis Assistant ke Gemini masih dalam pembangunan. Ia akan berfungsi sama dengan iOS, cuma akan hadir dengan sedikit perubahan antaramuka.

Pada peranti OnePlus 12 yang sedang saya uji sekarang, aplikasi Google telah menggunakan rekaan baharu. Tetapi perubahan masih tidak berlaku pada suapan Google di skrin utama dan suis masih tiada. Ia mungkin akan tiba tidak lama lagi. Dalam ujian saya ini juga, ramai pengguna Malaysia masih tidak menerima Gemini jika tidak melanggan Google One AI Premium.