Tesla mengambil keputusan menyelesaikan kes saman kemalangan yang mengakibatkan kematian seorang pemilik Tesla Model X di luar mahkamah. Dalam insiden yang berlaku pada tahun 2018, Wei Huang seorang jurutera Apple meninggal dunia selepas Model X milik beliau berlanggar dengan penghadang jalan ketika mod swapandu Autopilot digunakan.
Keluarga Huang menyaman Tesla kerana mendakwa Autopilot sepatutnya mengelakkan kemalangan ini daripada berlaku. Tesla pula bersedia membuktikan kemalangan berlaku kerana Huang sedang menggunakan permua dan tidak memberikan perhatian kepada keadaan sekeliling. Kes diselesaikan di luar mahkamah sehari sebelum kes dibicarakan. Jumlah pampasan yang diberikan kepada keluarga Huang adalah dirahsiakan.

Sistem Autopilot bukanlah sistem swapandu yang membolehkan kereta dipandu tanpa campur tangan manusia sepenuhnya. Ia sekadar ADAS yang asas jika dibandingkan dengan sistem FSD yang ditawarkan Telsa pada kenderaan mereka sekarang. Sungguhpun begitu pihak NTSB di Amerika Syarikat sedang menyiasat beberapa lagi kemalangan melibatkan kenderaan Tesla dalam mod swapandu.
Tahun lalu data tertiris menunjukkan Tesla menerima ribuan laporan daripada pengguna Autopilot apabila ia tidak berfungsi seperti sepatutnya. Pada ketika ini hanya Mercedes Benz pengeluar yang melepasi. piawaian swapandu Tahap 3 yang memberikan autonomi yang lebih namun begitu ia masih memerlukan pemandu manusia untuk mengendali kenderaan.