Carian
Peranti Terbaik Raya 2024 – Kelas Bawah RM1000
April 9, 2024 Effi Saharudin

Hari Raya Adilfitri kembali menjelma dan jika tiada kejutan seperti Akademi Fantasia, ia akan disambut pada hari esok. Pasti ramai sudah bersedia untuk Hari Raya dan melihat skrin telefon untuk tidak mengendahkan saudara mara yang duduk bersama di rumah nenek. Kami hanya berseloroh di sini tetapi hakikatnya sejak telefon menjadi keperluan harian, ini ialah rungutan yang sering didengari daripada golongan lebih berusia.

Mengikut tradisi kami di Amanz, senarai Peranti Terbaik Raya kami sampaikan kepada anda. Ini ialah anugerah awal tahun yang merangkumi peranti terbaik setakat ini. Dengan duit raya yang akan dikumpul nanti, ini ialah peranti-peranti yang kami sarankan kerana dirasakan berbaloi untuk dimiliki oleh pembaca semua.


Kriteria Pemilihan

  • Telah kami ulas di Amanz.
  • Sedang kami ulas di Amanz.
  • Harga mesti di bawah RM1000 sebelum promosi.
  • Prestasi masih memuaskan walaupun cip kelas permulaan
  • Menggunakan sekurang-kurangnya Android 13
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia selewat-lewatnya Disember 2023.

Tempat Ketiga – Honor X7b

Honor X7b di tangga ketiga kerana ia sebuah peranti kelas permulaan yang masih agak lengkap spesifikasinya. Peranti dilengkapi skrin 6.8″ IPS LCD, dijana cip Snapdragon 680, memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 256GB. Beberapa tahun yang lalu spesifikasi seperti ini hanya boleh dimimpikan sahaja oleh mereka yang mencari peranti yang dijual bawah RM1000.

Kekuatan X7b terletak pada bateri 6000 mAh yang bertahan cukup lama dan menyokong pengecasan 35W yang agak pantas. Dipadankan pula dengan kamera 108MP, speaker stereo dan bicu audio terbina membuatkan ia layak diletakkan di tangga ketiga dalam kategori ini.

Spesifikasi: 6.8” IPS LCD FHD+ 90Hz, Snapdragon 680 (6nm) (4X Kryo 265 Gold 2.4 GHz + 4X Kryo 265 Silver 1.9 GHz), 8GB RAM, storan 256 GB, 108+5+2MP (Utama), 8MP (Swafoto), 6000 mAh (35W), Android 13.

Harga: RM799 (8/256GB)


Tempat Kedua – Realme C67

Apa yang saya sedari tahun lalu ialah peranti bawa RM1000 sekarang sudah semakin bagus untuk digunakan dan bukan sekadar modal penyendal pintu. Realme C67 saya letakkan di tangga kedua kerana ia juga agak lengkap untuk peranti yang dikategorikan sebagai mampu milik.

Ia dilengkapi skrin 6.72″ IPC LCD 90Hz yang turut mempunyai ciri Mini Capsule. Muzik boleh dikawal menerusi Mini Capsule dan juga terdapat ciri melihat tahap pengecasan peranti. Cip Snapdragon 685 yang digunakan adalah lebih baik berbanding Snapdragon 680 yang digunakan pada X7b di atas. I turut dilengkapi kamera 108MP, bateri 5000 mAh, dan speaker stereo. Kekuatan peranti ini ialah kemampuan kalis percikan air IP54 dan Android 14 yang sebelum ini mustahil ditemukan pada peranti dalam kategori ini.

Spesifikasi: 6.72” IPS LCD FHD+ 90Hz, Snapdragon 685 (6nm) (4X Cortex-A73 2.8 GHz + 4X Cortex-A53 1.9 GHz), 8GB RAM, storan sehingga 256GB, 108+2 MP (Utama), 8MP (Swafoto), 5000 mAh (33W), Android 14.

Harga: RM799 (8/128GB), RM899 (8/256GB)


Juara – Tecno Spark 20 Pro

Ya peranti Tecno adalah juara dalam kategori ini untuk Hari Raya 2024 kerana ia dilengkapi cip Helio G99 yang pada hemat kami di Amanz adalah yang terbaik untuk kelas mampu milik. Cukup berkuasa menjalankan majoriti aplikasi serta boleh digunakan untuk permua seperti COD Mobile, PUBG Mobile dan Asphalt 9.

Memori pula sehingga 12GB yang sangat jarang ditawarkan dengan storan pula 256GB. Kamera juga 108MP dengan ia dipadankan kepada bateri 5000 mAh yang menyokong pengecasan 33W, speaker stereo dan kemampuan kalis percikan air IP53. Semua boleh dibeli pada harga serendah RM699 sahaja. Oleh sebab ini, Tecno Spark 20 Pro ialah peranti terbaik Raya bawah RM1000.

Spesifikasi: 6.64” IPS LCD FHD+ 120Hz, Snapdragon 695 (6nm) (2X Cortex-A75 2.0 GHz + 6X Cortex-A55 1.8 GHz), 8GB RAM, storan 128GB, 50+?MP (Utama), 8MP (Swafoto), 6000 mAh (80W), Android 13.

Harga: RM999 (8/128GB)


Baiklah ini ialah senarai peranti-peranti terbaik bawah RM1000 untuk Hari Raya 2024.

Komen