Carian
Cip Intel Lunar Lake Akan Mempunyai Kuasa Memproses AI Mencecah 100 TOPS
April 10, 2024 Effi Saharudin

Tahun ini akan menjadi tahun AI PC yang melihat PC baharu mempunyai kemampuan menjalankan kecerdasan buatan terus dari peranti. Beberapa AI PC awal telah diumumkan oleh Microsoft, Lenovo dan HP beberapa minggu lalu. Walaupun AI PC generasi pertama dengan cip Intel Core Ultra telahpun dilancarkan, Intel baru sahaja mengumumkan pemproses mereka di bawah keluarga Lunar Lake akan mempunyai kemampuan pemprosesan AI mencecah 100 TOPS.

Ini diumumkan oleh CEO Intel Pat Gelsinger ketika acara Intel Vision 2024 yang berlangsung semalam. Sebagai perbandingan cip Intel Core Ultra (Meteor Lake) mempunyai kemampuan NPU 10 TOPS sahaja. Tetapi pada cip Lunar Lake, NPU mempunyai kemampuan memproses 45 TOPS. Lebihan 55 TOPS datang daripada CPU dan GPU terbina pada cip ini.

Lunar Lake ialah cip yang direka untuk komputer riba. Ia diharap akan dapat memberikan persaingan kepada cip Snapdragon X Elite yang mempunyai kemampuan memproses AI 45 TOPS. Komputer pertama dengan X Elite akan dilancarkan pada H2 2024.

Untuk layak dikategorikan sebagai sebuah AI PC, komputer perlu mempunyai kemampuan memproses AI mencecah 45 TOPS, hadir dengan butang Copilot dan menyokong Copilot. AI PC generasi seterusnya perlu mempunyai kemampuan memproses yang tinggi bagi membolehkan Copilot dan model AI lain dijalankan terus dari peranti tidak seperti memerlukan sambungan ke awanan sekarang.

Komen