NASA Akan Menggunakan “Van” Toyota Di Permukaan Bulan
Effi Saharudin
Dua minggu lalu kami laporkan NASA memilih tiga syarikat untuk membina “kereta” untuk digunakan di permukaan bulan ketika Misi Artemis. Minggu lalu NASA menandatangani perjanjian dengan Agensi Angkasa Jepun (JAXA) untuk menggunakan pula “van” keluaran Toyota di permukaan bulan.

Van permukaan bulan rekaan Toyota ini mempunyai kabin yang akan membenarkan angkasawan berehat di dalamnya. Dengan ini pengembaraan di permukaan bulan boleh dilakukan lebih lama dan selesa. Menerusi konsep yang dikongsi oleh JAXA dan Toyota lima tahun lalu, van ini boleh bergerak sehingga 10,000 KM dengan kemampuan dicas semula menggunakan panel solar yang disimpan pada tubuhnya.
Sekiranya semua berjalan lancar, van ini akan digunakan di permukaan bulan pada tahun 2031 ketika Misi Artemis VII. NASA akan menghantar ke permukaan bulan dengan seorang angkasawan daripada Jepun. Ini juga akan menjadikan Jepun sebuah lagi negara yang berjaya menghantar manusia ke permukaan bulan.
India, China dan Rusia juga mempunyai harapan yang sama kerana melihat bulan bakal menjadi koloni pertama manusia sebelum pengembaraan ke planet-planet lain boleh dilakukan.
[sumber] NASA [/sumber]