DARPA dan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) minggu ini mengumumkan sebuah pejuang yang diterbangkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) telah berjaya bertempur dengan sebuah pesawat pejuang yang diterbangkan oleh manusia pada tahun 2023. Ia adalah sebahagian daripada projek Air Combat Evolution (ACE) yang ingin membangunkan pesawat pejuang swaterbang yang beroperasi dengan bantuan AI.

Di bawah projek ACE yang dibangunkan sejak 2022, sebuah General Dynamics F-16D Block 30 Peace Marble Il telah dikemaskini dengan peralatan elektronik dari Block 40 dengan ia diberikan nama kod VISTA X-62A. Juruterbang manusia diletakkan di dalam X-62A hanya sebagai sandaran sekiranya pesawat hilang kawalan. Tetapi ketika melakukan pertempuran udara dengan sebuah lagi pesawat F-16, juruterbang ini langsung tidak mengambil alih tugas AI yang digunakan X-62A.
Setakat ini 21 ujian bertempur telah dilakukan oleh projek ACE. Pihak DARPA walau bagaimanapun tidak berkongsi keputusan sama ada ACE berjaya mengalahkan juruterbang manusia. Keputusan ujian ACE mungkin akan digunakan untuk membantu projek Skyborg USAF.
Dengan Skyborg pesawat tempur moden akan beroperasi dengan beberapa dron yang dikawal oleh AI. Skyborg akan dihantar sebagai pesawat sokongan yang kemudiannya boleh diarahkan untuk melakukan misi yang berisiko untuk juruterbang manusia.