Carian
TikTok Disiasat Di EU Kerana Program Membayar Pengguna Untuk Menonton Video
April 23, 2024 Effi Saharudin

Aplikasi TikTok Lite akan dilancarkan di Perancis dan Sepanyol bulan ini dengan ciri menarik membayar pengguna untuk berinteraksi dengan kandungan platform. Walaupun aplikasi belum lagi dilancarkan, Kesatuan Eropah (EU) telah memberi TikTok tempoh 24 jam untuk menjelaskan bagaimana program ini akan dijalankan dan sama ada ia akan mendatangkan risiko ketagihan.

EU melihat taktik TikTok Lite ini seperti rokok yang boleh mendatangkan impak kepada pengguna bawah umur walaupun ia hanya akan dibuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Mereka akan menerima bayaran dalam bentuk TikTok Coin sekiranya menonton video, meninggalkan komen, mengikuti akaun dan menyarankan orang lain untuk menggunakan TikTok Lite.

Tidak seperti aplikasi TikTok biasa, TikTok Lite tidak menggunakan data yang tinggi serta boleh digunakan di luar talian. Pengguna juga tidak boleh melalukan atau menonton kandungan secara langsung. TikTok Lite sudahpun boleh diakses di Malaysia sejak 2020.

Tindakan EU ini hadir sehari selepas Dewan Perwakilan A.S sekali lagi meluluskan RUU yang akan memaksa Bytedance untuk menjual perniagaan TikTok. Sekiranya tidak TikTok akan diharamkan operasinya di negara tersebut. Pihak TikTok telahpun bersedia menyaman Amerika Syarikat sekiranya usaha ini diteruskan.

Komen