Carian
Televisyen Hisense Dengan Skrin ULED X Akan Ke Malaysia Tidak Lama Lagi
April 24, 2024 Fahim Zahar

Tahun ini nampaknya banyak pengeluar televisyen akan berlumba-lumba menawarkan televisyen dengan skrin Mini-LED. Sony telah mengumumkan siri Bravia baharu, Samsung dengan Neo QLED mereka dan terbaru adalah Hisense yang ingin memfokuskan kepada penawaran ULED X.

ULED X adalah panel Mini-LED Hisense yang tersendiri. Panel ULED telah pun ditawarkan sebelum ini, cuma versi baharu ini telah dipadankan dengan cip pemprosesan Hi_View Engine X baharu. ULED memfokuskan kepada empat U utama iaitu Ultra Local Dimming, Ultra Wide Color Gamut, Ultra 4K Resolution, dan Ultra Smooth Rate. Televisyen baharu yang diperlihatkan di Bangkok minggu ini adalah Hisense U6N, U7N, U8N, 75UX, 98UX dan 110UX.

U6N, U7N dan U8N adalah televisyen pintar dengan skrin Mini-LED paling mampu milik di pasaran oleh Hisense. Ia mempunyai pilihan dari 55-inci sehinggalah 85-inci, menyokong paparan Dolby Vision, kecerahan skrin mencapai 3000 nits, kadar segar semula 144Hz dan turut dikuasakan dengan AI untuk pengalaman menonton terbaik.

Kesemua televisyen ini telah pun dijual di pasaran luar seperti Amerika Syarikat. Tetapi di Bangkok ia adalah pelancaran untuk peringkat ASEAN. Bukan itu sahaja, versi jualan di pasaran ASEAN akan lebih memfokuskan penggunaan sistem operasi VIDAA OS yang baharu. Ia dikatakan menggunakan sistem webOS sama seperti LG untuk sekuriti lebih baik dan ketahanan jangka masa panjang.

Begitu juga dengan televisyen premium mereka seperti 75UX, 98UX dan 110UX. Ia adalah televisyen pertama dunia dengan kecerahan mencapai 5000 nits dan salah satu model boleh mempunyai sehingga 40,000 zon pemalapan. Cip yang digunakan adalah Hi_View Engine X yang akan menjadi otak kepada televisyen untuk memproses imej berkualiti, kadar segar semula 144Hz, warna yang tepat sehingga 95% serta sistem sekuriti untuk perlindungan pengguna.

Lebih menarik, wakil Hisense Malaysia telah mengesahkan yang beberapa televisyen baharu ini telah pun diluluskan di Malaysia dengan perancangan untuk dijual pada pertengahan kedua tahun 2024. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut model spesifik mana akan dijual di Malaysia.

Komen