Carian
Pandang Pertama Samsung Music Frame – Bila Bingkai Berbunyi
April 25, 2024 Effi Saharudin

Sejak 2017, Samsung menawarkan TV pintar The Frame yang direka untuk kelihatan seperti bingkai gambar. Konsepnya di sini ialah apabila The Frame tidak digunakan, ia tidak akan menjadi sekadar cermin hitam di ruang tamu. Sebaliknya ia boleh memaparkan karya seni seakan bingkai gambar sebenar yang menghiasi ruang tamu di rumah.

Music Frame menggunakan konsep yang sama cuma ia adalah speaker pintar yang kelihatan seperti bingkai gambar. Di Bangkok minggu ini saya sempat menggunakan Music Frame untuk beberapa ketika dan ini adalah pandangan saya mengenai bingkai gambar pintar Samsung.

Spesifikasi

Samsung Music Frame
JenisSpeaker pintar 2.0
PemanduEnam pemandu audio
Port I/OTiada
Audio DisokongDolby Atmos
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa
Butang fizikalYa
TambatanBluetooth
WiFi
AirPlay
Chromecast
Bicu Audio AUXTiada
NFCYa
Harga Jualan RM 1499

Rekaan

Music Frame mempunyai tubuh berbentuk segi empat tepat dengan lebar 413mm, ketinggian 435mm dan ketebalan 159mm. Sekali pandang saya tidak perasan langsung Music Frame tidak mempunyai dimensi segi empat sama. Lebihan ketinggian ini adalah kerana pada bahagian dagu terdapat lampu LED yang menunjukkan kuasa dan juga tahap kelantangan muzik yang dimainkan.

Unit yang kami lihat di Bangkok mempunyai bingkai berwarna hitam tetapi Samsung ada menawarkan bingkai luaran sama seperti yang wujud pada The Frame. Cuma pada waktu ini saya tidak tahu apakah warna yang akan dipasarkan di Malaysia kerana tidak disenaraikan di laman web sungguhpun pratempahan telahpun dibuka.

Terdapat tapak logam berbentuk L yang memastikan speaker 4.6 kilogram ini berdiri teguh di atas permukaan meja. Tapak agak lebar memastikan ia tidak mudah terjatuh dan tidak bergetar apabila muzik dimainkan.

Di hadapan terdapat panel gambar yang boleh ditanggalkan. Ya Music Frame boleh berfungsi sebagai bingkai gambar dengan gambar piring hitam yang diberikan juga boleh digantikan dengan gambar peribadi. Bingkai putih empat segi juga boleh ditukar dengan gambar yang memenuhi kesemua ruang bingkai jika itu yang anda mahukan.

Panel ini boleh ditanggalkan dengan menariknya keluar sama seperti kekisi fabrik pada speaker HiFi lama. Di belakangnya tersorok dua tweeter dan dua pemandu midrange di belakang panel plastik berongga yang tidak boleh ditanggalkan. Apabila beroperasi, audio daripada empat pemandu audio ini akan dihalakan ke depan menerusi alur antara panel hadapan dan panel belakang.

Di belakang pula terdapat dua lagi subwoofer bersaiz sederhana, ruang untuk kabel kuasa dan lubang penyangkut. Pihak Samsung berkata terdapat cagak dinding khas untuk Music Frame cuma ia tidak diperlihatkan kepada media pada acara yang saya hadiri.

Masih terdapat butang fizikal pada sisi kanan dengan ia terdiri daripada dua butang aras suara, butang bisu dan butang kuasa. Speaker pintar ini secara keseluruhannya terasa premium dengan binaan yang teguh.


Penggunaan

Music Frame menyokong tambatan menggunakan bluetooth dan juga WiFi. Ia diakses menerusi panel di dalam aplikasi SmartThings. Pada peranti Samsung, proses menambat serta memasukkan Music Frame ke dalam senarai peranti mengambil masa beberapa minit. Pengguan Android pula boleh melontar muzik ke speaker menggunakan Google Chromecast atau Spotify Connect.

Bagi pengguna ekosistem Apple, terdapat sokongan AirPlay untuk melontarkan kandungan peranti terus ke Music Frame. Dengan kata lain pengguna ekosistem Samsung, Android dan iOS tidak perlu risau mengenai keserasian Music Frame dengan sistem yang anda gemar gunakan.

Sehingga lima Music Frame boleh digabungkan untuk memainkan audio daripada sumber yang sama. Aneh sekali di sini ialah jika anda memiliki dua Music Frame, memainkan muzik dari telefon pintar secara stereo (satu Frame menjadi speaker kiri dan satu lagi kanan) tidak boleh dilakukan. Pelik kerana ciri ini wujud pada Apple HomePod dan Google Nest. Pihak Samsung berkata pada waktu ini tiada perancangan menawarkan kemas kini untuk mengaktifkan ciri ini dalam masa terdekat.

Sistem audio stereo hanya boleh digunakan jika Music Frame ditambat kepada TV Samsung menggunakan ciri Q-Symphony. Kini dua Music Frame boleh digunakan sebagai speaker tambahan bagi sistem audio Dolby Atmos. Hanya dua Music Frame boleh ditambat kepada TV dengan Q-Symphony. Jika adan sudahpun memasang sebuah Soundbar, hanya satu Music Frame boleh menggunakan Q-Symphony. Pada hemat saya ini ialah satu lagi pilihan yang agak aneh diambil oleh Samsung.

Kualiti Audio

Kualiti audio adalah memuaskan untuk sebuah speaker yang saiznya kecil dan agak pipih. Muzik yang dialunkan tidak kedengaran rata dengan dapat didengari pemisahan pada setiap instrumen serta saluran kiri serta kanan. Dentuman bass juga memuaskan dan pada tetapan tinggi sekalipun panel hadapan tidak menghasilkan getaran yang tidak diingini.

Terdapat teknologi Space Fit yang menala audio mengikut saiz bilik. Tetapi demo sistem ini tidak ditunjukkan jadi saya tidak boleh mengatakan ciri ini berfungsi seperti diiklankan. Ciri yang setanding telah saya uji pada produk Sonos dan JBL tetapi harus saya katakan perbezaan audio tidaklah begitu ketara.

Demo untuk Dolby Atmos menerusi Q-Symphony pula adalah sekadar memuaskan. Di Amanz saya sudah mengulas sistem audio Samsung Soundbar Q990C. Dua satelit Q990C menawarkan audio Dolby Atmos yang lebih baik kerana mempunyai speaker yang menembak/menghala ke atas. Music Frame menembak ke depan sahaja oleh itu kesan Dolby Atmos yang dihasilkan tidak setanding.


Kesimpulan

Music Frame ialah produk yang menyelesaikan isu speaker yang tidak nampak cantik di ruang tamu ataupun bilik. Saya akui soundbar memang menawarkan audio mantap tetapi ia sebatang palang hitam berkotak di depan TV yang mencemarkan estetik. Music Frame cuba menyelesaikan isu estetik ini dengan rekaan yang memuatkannya tidak ketara sebagai sebuah speaker dan ianya berjaya.

Tetapi berapa ramai di kalangan anda yang merasakan “speaker buruk” ialah isu yang besar. Penyelesaian yang ditawarkan oleh Samsung Music Frame adakah niche untuk majoriti pengguna. Audio yang dihasilkan adalah memuaskan cuma saya sedikit kecewa dengan kekurangan beberapa ciri yang adalah standard pada speaker pintar lain. Saya dapat melihat speaker ini digunakan di galeri lukisan, kafe dan muzium.

Tetapi semua ini adalah sekadar pendapat awal saya menggunakan Music Frame kurang daripada satu jam. Saya akan melakukan beberapa ujian lain dengan genre muzik lebih pelbagai sekiranya saya dapat mengulas Music Frame kelak. Di Malaysia Samsung Music Frame sudah boleh dipratempah pada harga RM1499.

Pr o

  • Rekaan memang seakan bingkai gambar biasa.
  • Kualiti audio amat baik untuk saiznya.
  • Sokongan bluetooth dan WiFi.
  • Menyokong pelbagai ekosistem popular.
  • Panel hadapan boleh diperibadikan dengan gambar sendiri.
  • Dolby Atmos.

Kontra

  • Hanya sambungan nirwayar tiada sebarang input berwayar.
  • Dua Music Frame tidak boleh berfungsi sebagai speaker stereo.
Komen