Cari @ Amanz

Ulasan OnePlus 12R – R Untuk Rombakan

Link Copied!

Tahun lalu OnePlus 11 kami nobatkan sebagai antara peranti paling berbaloi untuk dimiliki kerana harga yang munasabah dipadankan dengan pemproses Snapdragon 8 Gen 2 berkuasa serta sistem kamera Hasselblad.

Januari lalu OnePlus 12R telah dilancarkan di Malaysia hampir sifar promosi memberikan tanda tanya adakah OnePlus masih serius dengan pemasaran peranti mereka di Malaysia? Tetapi kami dapat melihat anda meminta kami mengulas. Oleh itu ini ulasan saya untuk OnePlus 12R.

SPESIFIKASI

OnePlus 12R
Skrin6.78″ LTPO AMOLED, 120HZ
Dolby Vision, HDR10+
PemprosesQualcomm Snapdragon 8 Gen 2
Cip1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM16GB LPDDR5X
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
2MP, f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Swafoto16MP f/2.4
Bateri5500 mAh
Pengecasan berwayar 100W
SIM/TelefoniDwi Nano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari bawah skrin
Wajah
Harga JualanRM 3199 (16/256 GB)

SKRIN

Skrin 6.78″ LTPO AMOLED dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula yang 120Hz. Ini adalah skrin tahap mercu yang amat pantas, responsif dan dengan keterangan puncak sehingga 4500 nits. Panel turut menyokong paparan Dolby Vision dan HDR10+. Warna pada skrin nampak hidup dan kesemua sentuhan dikesan dengan baik. Tahap kelancaran skrin juga cemerlang kerana kadar segar semula yang tinggi.

Saya boleh memainkan kandungan Dolby Vision daripada Netflix dan Disney+ Hotstar tanpa sebarang isu. Sistem haptik juga terasa realistik membuatkan getaran yang dirasakan amat semula jadi. Yang saya kurang gemar hanyalah sisi skrin yang melengkung. Sejak tahun lalu lagi saya katakan sudah tiba masanya

BIOMETRI

Pengimbas cap terletak di bawah skrin dari jenis optikal. Ianya pantas dengan proses nyahkunci amat responsif. Peranti juga boleh dinyahkunci menggunakan wajah dengan imbasan masih boleh dilakukan walaupun dalam keadaan gelap. Skrin akan menyala dengan terang supaya kamera hadapan boleh melihat wajah pengguna.

REKAAN

Apabila saya menerima OnePlus 12R saya terus meminta OnePlus 11 yang disimpan oleh Fahim di pejabat. Kemudian kami lakukan aktiviti “Cari perbezaan antara dua peranti ini”. Secara keseluruhan perubahan hanya berlaku di bahagian bonggol kamera. Komponen lain dengan lokasi butang dikitar semula 100%. Ini tidak semestinya negatif kerana Apple dan Samsung melakukannya juga tanpa sebarang kritikan memandangkan rekaan yang digunakan ini masih lagi bagus dan ergonomik.

OnePlus 12R dan OnePlus 11

Butang kuasa dan laras audio terletak pada sisi kanan yang amat mudah diakses. Pada sisi kiri diletakkan butang lungsur notifikasi yang ikonik pada peranti OnePlus. Masih terdapat pemancar IR di bahagian atas dan juga satu lubang untuk speaker. Sebuah lagi speaker di bahagian bawah untuk sistem audio stereo yang terletak bersebelahan port USB-C dan talam SIM.

Bingkai logam dipadankan dengan panel kaca di bahagian belakang serta bonggol kamera yang juga diperbuat daripada logam. Pada bonggol perbezaan dengan OnePlus 12 ialah konfigurasi lampu flash dan juga tiada penjenamaan kamera Hasselblad. Flash kini diletakkan di luar bulatan bonggol. Bonggol ini masih lagi besar membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja.

Panel kaca di belakang pula memerangkap kotoran dengan amat mudah. Baru dipegang seketika, ia sudah berminyak. Ini tidak dibantu oleh OnePlus tidak lagi memberikan kerangka percuma yang boleh menyelesaikan dua isu di atas.

Butang lungsur notifikasi

Isu akhir kami dengan rekaan OnePlus 12R ialah secara rasminya di Malaysia hanya mempunyai kemampuan kalis air IP64. Ada kemampuan kalis air itu bagus tetapi sebagai peranti mercu adalah lebih afdal sekiranya ia IP68.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi OxygenOS 14 berasaskan Android 14 digunakan dan ia adalah antara elemen terbaik OnePlus 12R. Perisian OnePlus mempunyai reputasi terasa ringan, lancar, pantas dan responsif. Reputasi ini kekal dengan OnePlus 12R dan OnePlus 12 yang diulas oleh Fahim beberapa hari yang lalu.

Walaupun rekaan tidak lagi nampak seperti Android stok, antaramuka serta pilihan ikon OxygenOS 14 adalah amat kemas. Pelbagai ciri tambahan diberikan untuk memberikannya keunikan berbanding peranti Android lain.

Antaranya ialah memori maya sehingga 12GB membolehkan RAM ditingkatkan sehingga 28GB seperti OnePlus Nord 3 5G yang cukup saya gemari. Dengan 16GB RAM saya rasakan lebih daripada memadai untuk 99% aplikasi yang saya gunakan. Kemudian terdapat mod untuk kanak-kanak, mod ringkas untuk warga emas, Split View, Smart Sidebar dan banyak lagi. Jika anda pernah menggunakan peranti OnePlus dan Oppo sebelum ini, anda pasti tahu semua ciri yang saya tuliskan tadi adalah standard sejak bertahun lamanya.

Kustomasi latar belakang boleh dilakukan dengan tema telefon berubah dengan imej yang dipilih. Tiada perkara negatif boleh katakan mengenai OxygenOS kerana ia adalah antara pelancar paling konsisten tidak bermasalah pernah saya gunakan. OnePlus 12R menerima kemas kini Android selama 3 tahun dan tampalan sekuriti pula selama 4 tahun. Diakui ini bukan tempoh sokongan paling lama tetapi tak semua syarikat berani mengikut langkah Samsung dan Google menawarkan sokongan kemas kini selama 7 tahun.

PENANDA ARAS

OnePlus 12R menggunakan cip mercu tahun lalu Snapdragon 8 Gen 2. Selepas sudah setahun dilancarkan adakah ia masih lagi berdaya saing?

Mari bandingkan prestasi OnePlus 12R dengan OnePlus 12 (Snapdragon 8 Gen 3), Xiaomi 13 Pro (Snapdragon 8 Gen 2), Galaxy S23 Ultra (Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy), OnePlus 11 (Snapdragon 8 Gen 2), Vivo X90 (Dimensity 9200) dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic)

Geekbench 6

  • OnePlus 12R – 1081/4204
  • OnePlus 12 – 967/5020
  • Xiaomi 13 Pro – 1868/5272
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Vivo X90 – 1668/4000
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • OnePlus 12R – 1,431,444
  • OnePlus 12 – 1,579,634
  • Xiaomi 13 Pro – 1,252,296
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Vivo X90 – 1,147,029
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

3D Mark Wild Life Extreme

  • OnePlus 12R – 3712
  • OnePlus 12 – 4632
  • Xiaomi 13 Pro – Tiada
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
  • OnePlus 11 – 3712
  • Vivo X90 – 3176
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Markah yang dicatatkan oleh OnePlus 12R adalah masih tinggi malahan dalam beberapa ujian lebih baik berbanding OnePlus 11 yang menggunakan cip sama. Peningkatan prestasi antara Gen 2 dan Gen 3 tidaklah seperti langit dan bumi. Oleh itu prestasi OnePlus 12R masih lagi baik untuk tahun 2024.

Permua seperti Asphalt 9, COD Mobile dan Diablo Immortal boleh dimainkan pada tetapan serta kadar bingkai tinggi. Tiada isu pemanasan berlaku kerana terdapat kebuk penyejuk yang besar. Saya hanya sedari isu pemanasan apabila menjalankan Genshin Impact dan COD Warzone Mobile. Dua permainan ini akan membuatkan peranti “demam”. Tetapi isu ini juga berlaku pada peranti A17 Pro dan Snapdragon 8 Gen 3.

TELEFONI dan GPS

Peranti sekadar menyokong rangkaian 5G dan WiFi 7. Panggilan suara adalah jelas dan tiada isu. Kemampuan GPS juga tidak mengecewakan dengan kedudukan saya di dalam peta boleh dikesan dalam masa beberapa saat sahaja lagi. Pengalaman telefoni dan GPS adalah setanding peranti mercu.

Kamera

Tanpa Hasselblad adakan kamera OnePlus akan menjadi buruk? Jawapan saya ialah tidak. Gambar diambil menggunakan kamera sudut lebar 50MP adalah sangat cantik, warna nampak hidup, tiada isu hingar dan paling penting sekali kamera berfungsi dengan pantas. Dalam situasi pencahayaan mencukupi keperincian pada gambar jelas kelihatan dan imej nampak tajam. Mod malam juga mantap kerana terdapat sistem OIS. Sama sahaja seperti di OnePlus 12 dan OnePlus Nord 3 5G. Sensor yang sama digunakan dan tidak terkejut hasilnya konsisten.

Lensa ultra sudut lebar 8MP adalah sedikit mengecewakan kerana warna tidak konsisten dengan lensa sudut lebar. Sensor lebih kecil menghasilkan imej nampak lebih lembut dan keperincian pada imej tidak setanding lensa utama. Sensor makro 2MP pula saya rasakan sekadar gimik. Lebih baik OnePlus mengikuti jejak Nothing dan tawarkan peranti dwi-kamera sahaja kerana lensa ketiga makro ini kurang berguna memandangkan kualiti imej yang rendah.

Kamera swafoto pula adalah memuaskan dengan kesan bokeh mengesan latar belakang dan subjek utama dengan baik.

Bateri

Dengan bateri berkapasiti 5,500mAh, peranti dapat bertahan sepanjang hari. Di penghujung hari sekitar jam 10 malam, masih terdapat antara 20-25% bateri pada penggunaan sederhana. SOT adalah antara 9-10 jam secara purata. Ini adalah hayat bater yang sangat baik.

Jika kehabisan bateri sekalipun, ia boleh dicas semula dalam masa hanya 26 minit menggunakan pengecas 100W. Malang sekali pengecas perlu dibeli berasingan kerana OnPlus hanya memberikan kabel pengecas USB-C ke USB-C di dalam kotak.

Audio

Speaker stereo yang digunakan menyokong Dolby Atmos. Audio tidak begitu seimbang kerana speaker di bahagian bawah adalah lebih besar. Apabila muzik dimainkan audio kedengaran lantang dan jelas. Tiada bicu audio tetapi ini adalah normal pada majoriti peranti mercu moden.

Pesaing

OnePlus 12RXiaomi 13OnePlus 11
6.78″, LTPO4 AMOLED, FHD+, 120Hz, Dolby Vision 6.36″ AMOLED, FHD+, 120Hz, Dolby Vision6.7″ LTPO3 AMOLED, QHD+, 120Hz, Dolby Vision
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Adreno 740Adreno 740Adreno 740
16GB LPDDR5X12GB LPDRR516GB LPDDR5X
256GB UFS 3.1256 GB UFS 4.0256GB UFS 4.0
Kamera Utama
50MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2 (Ultra-Lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Utama
50 MP, f/1.8, OIS, (Sudut Lebar)
12 MP, f/2.2 (Ultra Lebar)
10 MP, f/2.0, OIS (Telefoto 3.2x Zum Optikal)Lensa Leica
Kamera Utama
50MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
48MP, f/2.2 (Ultra-Lebar)
32MP, f/2.0, (Telefoto)
Kamera Hasselblad
Kamera Hadapan
16-MP f/2.4
Kamera Hadapan
32-MP f/2.0
Kamera Hadapan
16-MP f/2.5
IP64IP68IP64
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5500 mAh (Berwayar 100W)4500 mAh (Berwayar 67W)5000 mAh (Berwayar 100W)
RM 3199 (16/256 GB)RM 3499 (12/256 GB)RM 3299 (8/128 GB)
RM 3599 (16/256 GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x OnePlus 12R
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Buku panduan.
  • 1x Buku panduan pantas.

KESIMPULAN

Huruf R pada OnePlus 12R pada hemat saya adalah untuk “rombakan”. Seperti rombakan kabinet yang dilakukan oleh kerajaan, tak semua perubahan yang diambil akan menggembirakan orang ramai. OnePlus 12R ada menambah baik kelemahan pada OnePlus 11 tetapi pada waktu yang sama mengurangkan pula beberapa ciri menarik yang ada

Skrin, bateri, prestasi cip, memori dan perisian adalah jelas lebih bagus. Tetapi kamera dan jenis storan pula dicantas kemampuannya. Pada harga RM3199 ia ditawarkan pada harga yang saya rasakan munasabah. Tetapi saya perlu bercakap benar dengan anda. Jika ada terjumpa OnePlus 11 pada harga hampir setanding sekarang, ia adalah peranti yang lebih berbaloi pada hemat kami sesuai dengan statusnya sebagai antara peranti terbaik Amanz 2023.

Pro

  • Skrin terang dan pantas dengan Dolby Vision.
  • Prestasi Snapdragon 8 Gen 2 masih mantap.
  • Perisian yang memberikan kelancaran.
  • Bateri tahan lama dan dicas pantas.
  • Speaker stereo.

Kontra

  • Kamera utama sahaja bagus dengan dua lagi kamera lain sederhana.
  • Tubuh yang memerangkap kotoran dengan pantas.
  • Tiada pengecas atau kerangka dalam kotak.

Komen ()