Carian
Xbox Akan Melancarkan Stor Permainan Mudah Alih Julai Ini
May 10, 2024 Effi Saharudin

Masa depan Xbox adalah sedikit kabur dengan penutupan empat studio pembangunan serta pengesahan harga Game Pass akan dinaikkan dalam masa terdekat. Mereka sudahpun mengibarkan bendera putih dalam peperangan menentang PlayStation untuk generasi ini. Tetapi tumpuan Microsoft untuk Xbox selepas ini adalah permainan mudah alih (permua) pula.

Presiden Xbox, Sarah Bond mengesahkan kepada Bloomberg bahawa stor permua Xbox akan dilancarkan pada bulan Julai depan sekaligus mengesahkan ura-ura yang mula didengari sejak 2022. Pada peringkat permulaan hanya permua IP milik mereka seperti Call of Duty: Mobile dan Candy Crush Saga. akan ditawarkan sebelum aplikasi popular lain ditawarkan. Stor permua Xbox akan menjadi alternatif kepada Apple Apple Store dan Google Play Store.

Sungguhpun begitu stor ini juga hanya akan hadir dalam versi web terlebih dahulu. Adalah sukar untuk melihat Google dan Apple membenarkan pengguna memuat turun stor aplikasi yang akan menjadi pesaing kepada mereka sendiri.

Pada Mac lalu Microsoft mengumumkan sokongan aplikasi Android di dalam Windows 11 tidak akan diteruskan. Kini mereka akan melancarkan pula stor permua Android sendiri. Di Eropah ini boleh dilakukan kerana Akta Pasaran Digital (DMA) memaksa pemilik platform membenarkan aplikasi dipasang dari stor alternatif.

Komen