Carian
Ulasan Xiaomi Watch S3 – HyperOS Jawapan Jam Terbaik?
May 16, 2024 Fahim Zahar

Saya berikan Xiaomi satu pujian apabila mereka meneruskan jam tangan pintar Wear OS dengan Xiaomi Watch 2. Ia adalah satu usaha yang bagus selepas Mobvoi meninggalkan pasaran Malaysia dan Fossil pula tidak lagi menawarkan jam Wear OS baharu. Walaupun begitu, Xiaomi masih berusaha mempromosikan ekosistem mereka tersendiri dengan Xiaomi Watch S3 kerana ini adalah satu lagi jam dengan Xiaomi HyperOS dan mengejutkan saya amat berpuas hati dengan jam ini.


SPESIFIKASI DAN REKAAN

Xiaomi Watch S3
Skrin1.43″ AMOLED, 466 x 466, 600 nits
PemprosesTidak didedahkan
Memori/StoranTidak didedahkan
Sistem OperasiXiaomi HyperOS
Perlindungan5ATM
SensorNadi
SpO2
Giroskop,
Kompas
Barometer
Cahaya
Hall
Lain-LainBeiDou, GPS, GLONASS, Galileo, QZSS
Bluetooth 5.2
NFC, Xiaomi Pay tidak disokong di Malaysia
Bateri486mAh
5-15 hari
Bahan BinaanJam – Bingkai aloi aluminium, bezel keluli tahan karat, kaca corning
Tali Jam – Fluororubber
HargaRM699

Sama seperti Xiaomi Watch 2, S3 juga kelihatan seakan seutas jam tangan pintar Samsung yang sedikit lebih tebal. Ia adalah rekaan standard untuk jam dengan skrin bulat, malah Xiaomi turut menyertakan dua butang fizikal untuk kawalan yang lebih mudah. Xiaomi turut menggunakan bahan binaan seperti bingkai aloi aluminium, bezel keluli tahan karat, kaca corning dan fluororubber untuk memastikan jam ini nampak dan rasa premium.

Setiap butang sedap ditekan, tiada bezel berputar atau tombol tetapi bezel pada jam ini direka untuk boleh dicabut dan digantikan dengan rekaan lain. Tali jam juga masih menggunakan kaedah lama yang sangat dihargai kerana membenarkan pengguna membeli tali jam ganti atau tambahan di kedai jam biasa. Satu yang saya tidak suka adalah kali ini getah tali jam tidak begitu mesra dengan orang yang cepat berpeluh kerana pergelangan tangan saya mudah alami masalah gatal-gatal.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Xiaomi Watch S3 adalah jam tangan pintar asas yang hampir sempurna. Jika Xiaomi sertakan gedung aplikasi dan kemampuan membalas mesej seperti Wear OS, S3 berpotensi menjadi jam yang terbaik. Skrin AMOLED yang cantik dan pantas, muka jam terang dan animasi juga nampak lancar. Jam ini menggunakan Xiaomi HyperOS iaitu sistem operasi Xiaomi yang tersendiri yang direka untuk mesra berkomunikasi dengan peranti Xiaomi lain yang menggunakan akaun sama dengan lebih efisien.

Ciri kawalan gestur seakan Apple Watch Series 9 dan Apple Watch Ultra 2 turut boleh digunakan tetapi ia khusus untuk orang yang betul-betul boleh bersabar kerana ciri ini kurang sensitif kerana ia hanya berjaya satu kali dalam setiap 10 percubaan. Ciri yang gimik tetapi agak berguna untuk saya adalah bezel yang boleh ditukar. Ia bukan sekadar bezel kerana muka jam pun akan bertukar mengikut tema warna bezel. Xiaomi menjual bezel dan tali jam berbeza ini dari RM 59-169 dan hanya boleh dibeli di kedai fizikal Xiaomi.

Bagaimana pula penggunaan harian bersama Xiaomi Watch S3? Seperti saya katakan tadi saya berpuas hati dengan jam ini. Skrin yang cantik, prestasi juga baik dan jam ini hampir memberi pengalaman lengkap sepertimana saya menggunakan jam Wear OS. Aplikasi pada HyperOS agak banyak dan semuanya membantu saya menjadi lebih sihat. Kali ini memadankan akaun Xiaomi dengan Google Fit juga mudah jika pengguna ingin menyelaraskan data secara rentas-platform.

Pemantauan tidur, penjejakan setiap langkah berjalan kaki, membaca data setiap degupan jantung, memantau tekanan, memastikan pengguna berdiri dan tidak duduk sahaja sepanjang masa dan banyak lagi berfungsi dengan baik. Ciri mengesan aktiviti secara automatik sahaja yang sedikit bermasalah kerana ketika saya sedang memandu, jam mengesan saya sedang mengayuh basikal. Rekaan HyperOS juga menarik kerana bergantung banyak kepada tiles dan aplikasi berasaskan widget.

Pada saya, Xiaomi hanya perlu memperbaiki sedikit sahaja lagi sistem operasi jam seperti menyertakan kebolehan membalas mesej, membawakan sokongan eSIM, memberikan pengguna akses kepada ECG, mengintegrasikan gedung aplikasi dan akhir sekali memperkenalkan satu ciri AI pasti akan menjadikan nilai jam ini lebih berbaloi untuk dimiliki.

APLIKASI

Aplikasi Mi Fitness masih bukan aplikasi kegemaran saya ketika menggunakan jam tangan pintar Amazfit atau Xiaomi. Aplikasi ini masih menggunakan rekaan dengan tab untuk data kesihatan, aktiviti senaman, peranti dan profil pengguna. Aplikasi ini juga mengambil sedikit masa untuk menerima data daripada jam dan tidak serta merta seperti pada Apple Watch dan Galaxy Watch.

Xiaomi patut mematikan atau buang terus ciri yang tidak boleh digunakan bersama jam ini. Misalnya ada bahagian tekanan darah tinggi, ia tidak disokong pada Watch S3. Perkara ini membuatkan saya keliru dengan kebolehan jam ini. Beberapa data juga tidak tepat kerana saya ada memakai jam ini bersama-sama dengan Apple Watch Ultra, pemantauan tidurnya memaparkan perbezaan data sekitar 2 jam.

Banyak juga perkara yang Xiaomi telah ubah seperti menjadikan aplikasi ini lebih ringkas berbanding generasi sebelum, cuma belum capai di tahap Nothing dengan aplikasi CMF Watch. Xiaomi HyperOS juga masih baru jadi sokongan pembangunan mungkin masih tidak matang seperti Wear OS dan Amazfit dengan Zepp OS. Walau bagaimanapun, Xiaomi Watch S3 adalah iterasi Xiaomi yang terbaik untuk jam tangan pintar asas yang premium.

BATERI

Menurut Xiaomi dengan mod Always-on Display jam ini boleh bertahan sehingga 5 hari, sementara tanpa AOD ia boleh bertahan selama 14 hari. Dalam penggunaan saya, ia hanya bertahan sekitar 4 hari yang mana hanya satu hari lebih lama berbanding Apple Watch Ultra atau TicWatch Pro 5. Ia juga adalah dua kali lebih lama berbanding Samsung Galaxy Watch6 tetapi masih tidak memuaskan kerana jam pesaing dengan harga sama seperti Amazfit tiada masalah untuk bertahan sehingga 7 hari.

Pengecasan jam ini agak pantas, ia hanya mengambil masa sekitar 5 minit untuk bertahan sekitar dua hari. Satu perkara yang saya masih tidak faham kenapa tiada pengeluar jam selain Samsung ingin menawarkan pengecasan magnetik atau nirwayar seperti Apple? Saya kurang gemar membawa kabel tambahan untuk mengecas jam ini.

APA ADA DALAM KOTAK?

Dengan setiap pembelian Xiaomi Watch S3, anda akan menerima;

  • 1x Xiaomi Watch S3.
  • 1x Bezel siap dipasang.
  • 1x Tali jam.
  • 1x Pengecas dermaga magnetik.
  • 1x Set manual dan buku keselamatan.

KESIMPULAN

Selepas seorang lagi editor Amanz menguji peranti boleh pakai dengan Xiaomi HyperOS iaitu pada Redmi Watch 4, saya sudah melihat potensi untuk sistem operasi ini boleh berjaya. Dengan Xiaomi Watch S3 itulah apa yang saya rasakan sepanjang hampir satu bulan penggunaan. Jam ini membawakan banyak ciri premium yang bukan sekadar gimik tetapi benar-benar bermanfaat untuk pengguna. RM699 adalah harga yang baik dan kompetitif untuk jam tangan pintar seperti ini dan anda patut beri Xiaomi Watch S3 peluang untuk bersinar dalam arena peranti boleh pakai yang mencabar ini.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Xiaomi HyperOS yang menarik.
  • Skrin yang cantik dan terang.
  • Bezel boleh tukar sekali dengan muka jam.
  • Binaan premium.
  • Sensor dan data yang agak berguna untuk kesihatan pengguna.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Tidak banyak aplikasi boleh digunakan bersama.
  • Tiada gedung aplikasi dan tidak boleh balas mesej.
  • Tali jam yang kurang selesa.
  • Pemantauan tidur dan pengesanan sukan yang tidak begitu tepat.
  • Bateri tidak begitu tahan berbanding pesaing dalam kelas sama.
Komen