Carian
Ulasan Xiaomi Watch 2 Pro – Jam Wear OS Yang Layak Diberi Peluang
December 13, 2023 Fahim Zahar

Tahun 2019, Xiaomi melancarkan Mi Watch iaitu jam tangan pintar Wear OS pertama mereka dengan pelancar MIUI. Jam ini hanya dijual di pasaran China dan selepas 4 tahun, pengganti jam ini iaitu Xiaomi Watch 2 Pro dilancarkan yang turut ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Dengan Mobvoi yang telah menarik diri daripada pasaran Malaysia, Watch 2 Pro adalah alternatif terbaik kepada TicWatch Pro 5.


SPESIFIKASI DAN REKAAN

Xiaomi Watch 2 Pro
Skrin1.43″ AMOLED, 466 x 466, 600 nits
PemprosesSnapdragon W5+ Gen 1 (4nm)
4x Cortex A53, 1.7GHz
1x Cortex M55, 250MHz (AON)
GPU A702, 1 GHz
Memori/Storan2 GB RAM
32 GB Storan Dalaman
Sistem OperasiWear OS 3.5, Android 11
Perlindungan5ATM
SensorPengimbas nadi optikal, sensor pemecut,
giroskop, sensor cahaya ambien, kompas elektronik,
sensor barometer, sensor analisis impedans bioelektrikal
Lain-LainGPS L1+L5, Galileo, Glonass, Beidou, QZSS
Bluetooth 5.2
Tombol berputar
Speaker
Mikrofon
Bateri495mAh, mencapai 2 hari 17 jam
Pengecasan pantas magnetik, 45 minit 100%
Bahan BinaanKerangka aluminium
Skrin kaca
Tali jam getah-fluoro/kulit
HargaRM1,199

Sekali pandang, Xiaomi Watch 2 Pro kelihatan seakan Samsung Galaxy Watch6 Classic. Tetapi mereka yang sudah biasa dengan jam Fossil atau TicWatch akan tahu ini adalah rekaan klise untuk jam Wear OS. Skrin AMOLED berbentuk bulat bersaiz 1.43″ yang mempunyai warna yang baik tetapi tidak cukup terang. Terdapat dua butang di sisi; satu untuk akses pantas ke aplikasi kegemaran, satu untuk senarai aplikasi dan juga satu tombol berputar yang bergetar setiap pusingan dengan getaran yang cukup baik.

Di belakang terdapat beberapa sensor dengan lapisan kaca. Tali jam jenis silikon ini cukup lembut dan berkualiti kerana mudah untuk dibuka dan dipakai. Sayang sekali jam ini tidak menyertakan bezel berputar seakan Samsung, kerana Xiaomi Watch 2 Pro sudah ada gaya jam premium yang ringkas. Warna hitam pada saya biasa sahaja, tetapi saya ada cuba menggunakan warna perak dengan tali kulit yang nampak lebih bergaya.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Skrin jam ini pada hemat saya mempunyai saiz yang cukup baik untuk seutas jam tangan pintar. Masih sukar untuk membaca kandungan notifikasi, tetapi untuk tatal, membuka aplikasi dan menggunakan pelbagai jenis aplikasi – skrin 1.43″ AMOLED ini cukup bagus. Setiap tatalan juga pantas dan jam ini jarang berlaku masalah lengah masa. Perkara paling menjengkelkan pada jam ini adalah sensor cahaya ambien yang lemah, sehingga ciri angkat tangan untuk aktif skrin atau untuk Always-on Display aktif secara automatik tidak menjadi kadangkala.

Prestasi jam ini amat mengejutkan. Ia sama dengan pengalaman penggunaan TicWatch Pro 5 yang pernah saya uji sebelum ini. Snapdragon W5+ Gen 1 terbukti adalah cip yang berkuasa untuk jam tangan pintar. Wear OS pada jam Xiaomi ini juga sangat lancar dan tidak mendatangkan masalah perisian langsung. Notifikasi masuk dengan baik, tidak kira pada iOS atau Android. Setiap aplikasi kecergasan dan kesihatan untuk pemantauan diri sendiri juga mudah digunakan.

Sensor-sensor pada jam ini agak membantu. GPS saya rasakan cukup pantas, WiFi dan Bluetooth juga baik, dan data-data yang telah diimbas dan direkodkan ke dalam aplikasi adalah lebih kurang sama dengan Apple Watch Ultra atau Samsung Galaxy Watch6 Classic. Xiaomi turut menyertakan beberapa ciri tambahan yang jarang pesaing tawarkan, misalnya adalah kiraan komposisi tubuh badan. Ciri ini biasa dilihat pada jam tangan pintar untuk aktiviti tahan lasak seperti Suunto atau Garmin.

Xiaomi Watch 2 Pro juga merupakan jam yang cukup selesa. Pergelangan tangan saya tidak alami masalah gatal-gatal untuk penggunaan jangka masa panjang dan tali jam juga mudah untuk ditukar ganti. Memakai jam ini di tangan kiri dan melakukan pembayaran Google Wallet juga mudah. Setiap butang sedap ditekan dan sangat responsif, cuma isu saya adalah rekaan ikon yang Xiaomi gunakan nampak aneh – ada yang macam MIUI dan ada yang macam Android stok.

Tombol berputar adalah antara ciri bonus pada jam ini. Dipadankan pula dengan sistem getaran yang baik (walaupun tidak sebagai Apple Watch) untuk jam Wear OS. Tombol ini memudahkan saya mengawal skrin tanpa perlu menatal, kerana jari saya yang besar ini kadangkala mudah tertekan aplikasi yang saya tidak ingin buka.

BATERI

Bateri Xiaomi Watch 2 Pro juga agak menarik. Saya terkejut yang ia mempunyai ketahanan yang memberangsangkan iaitu lebih kurang sama dengan Samsung Galaxy Watch6 Classic – satu hari setengah. Kadangkala dua hari setengah tiada masalah, tetapi perlu menggunakan mod penjimatan bateri yang melemahkan prestasi jam.

Setakat ini tiada jam Wear OS yang boleh menandingi TicWatch Pro 3 Ultra GPS Atau TicWatch 5 Pro yang boleh mencapai 3 hari atau 7 hari dengan mod penjimatan bateri. Pengecasan walaupun tidak menyokong Qi dan masih menggunakan USB-A, ia tetap pantas dengah 0% ke 100% dalam masa 45 minit.

Antara perkara yang saya puji pada CMF by Nothing Watch Pro adalah aplikasi CMF Watch yang sangat mesra pengguna. Xiaomi cuba perkara yang sama dengan aplikasi Mi Fitness (saya tidak faham kenapa masih menggunakan “Mi” bukan “Xiaomi”) yang disokong pada Android dan iOS. Aplikasi ini cukup ringkas, nampak moden dan sedikit lebih baik berbanding tahun lalu.

Mi Fitness mampu menyelaraskan data jam ke peranti dengan cukup pantas. Data-data kesihatan yang dipaparkan juga mudah dibaca dan difahami. Peta untuk melihat pergerakan berjalan kaki juga kemas, semua data juga lebih kurang sama dengan apa yang Apple Watch Ultra rekodkan – cuma kekurangan di sini Xiaomi tiada pelatih digital seperti pada Samsung yang membantu pengguna untuk memahami secara lebih mendalam setiap data imbasan nadi, pemantauan tidur, dan lain-lain.

Aplikasi ini turut boleh diperbaiki lagi dengan memasukkan tetapan jam itu sendiri sekali. Kebanyakan jam Wear OS seperti Fossil, Samsung atau TicWatch jam-jam mereka semua boleh ditetapkan terus dari dalam aplikasi tetapi Xiaomi hanya ada tetapan asas sahaja. Satu perkara baik adalah, aplikasi ini boleh turut memantau peranti boleh pakai Xiaomi lain seperti Smart Band atau juga penimbang pintar mereka.

APA ADA DALAM KOTAK?

Dengan setiap pembelian Xiaomi Watch 2 Pro, anda akan menerima;

  • 1x Xiaomi Watch 2 Pro.
  • 1x Tali jam.
  • 1x Pengecas dermaga magnetik.
  • 1x Set manual dan buku keselamatan.

KESIMPULAN

Xiaomi Watchh 2 Pro adalah jam Wear OS yang baik yang layak diberi peluang. Kemas kini Wear OS memang masih tidak konsisten dengan hanya Pixel Watch dan Galaxy Watch menerima Wear OS 4 tetapi jam lain terpaksa kekal dengan Wear OS 3.5. Walaupun begitu dengan prestasi yang mantap, skrin yang cantik, tombol berputar yang bergetar yang menarik, bateri yang tahan lama dan sensor yang bagus – jam ini adalah antara yang terbaik di pasaran jika anda tidak ingin terikat dengan ekosistem Samsung.

Ketiadaan Mobvoi di Malaysia memberi nasib malang kepada pengguna TicWatch 3 Pro/3 Pro Ultra dan TicWatch Pro 5 kerana tiada lagi khidmat bantuan pelanggan. Xiaomi kini boleh menjadi alternatif baharu dengan harapan kemas kini akan diedarkan serta akan ada model baharu diperkenalkan.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Prestasi yang lancar dan pantas.
  • Bateri yang tahan lama dengan pengecasan pantas.
  • Tombol berputar yang bergetar yang bagus.
  • Sensor yang baik untuk merekodkan data kesihatan.
  • GPS yang cukup jitu.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Aplikasi yang masih ada kekurangan.
  • Skrin tidak cukup cerah.
  • Masa hadapan kemas kini yang merisaukan.
  • Ikon aplikasi yang tidak konsisten.
  • Pengecas masih USB-A, bukan USB-C.
Komen