Fujifilm hari ini melancarkan X-T50 baharu iaitu kamera digital nircermin pada saiz kompak yang menjanjikan hasil terbaik dalam kelasnya. Kamera dengan rekaan ergonomik ini menggunakan sensor beresolusi 40.2MP X-Trans CMOS 5 HR yang sama seperti model X100VI. Selain juga turut menyokong julat ISO standard diantara 125 ~ 12800 untuk kedua-dua rakaman imej pegun dan video.


Padanan yang baik diteruskan melalui cip pemprosesan imej X-Processor 5 dan sokongan IBIS lima paksi terbina. Selain turut mampu melakukan rakaman maksimum 6.2K/30P bersama fungsi auto fokus yang mengesan subjek berasaskan AI. Di samping keupayaan merakam gambar sehingga 8FPS menggunakan pengatup mekanikalnya.

Buat kali pertamanya juga tombol berputar yang disertakan membolehkan pengguna mengakses tetapan Film Simulation yang termasuk REALA ACE dengan cepat berbanding X-T30 II. Untuk storan pula terdapatnya satu slot kad SD UHS-II. Kemudian sebuah panel LCD bersaiz 3-inci dengan 1.84 juta titik juga disertakan di bahagian belakang yang boleh digerakkan mengikut keperluan pengguna.

Fujifilm X-T50 ditawarkan di Malaysia dengan harga bermula RM7,998 untuk tubuh sahaja. Kemudiannya turut boleh dibeli bersama X-T50/XC15-45mm Kit pada RM8,498 dan X-T50/XF16-50mm Kit berharga RM9,998. Sesi pratempah telah dibuka sehingga 16 Jun akan datang dengan peluang menerima hadiah bernilai hingga RM2,952.