Carian
Windows Recall Mengingati Kesemua Aktiviti dan Lokasi Fail Pada PC
May 21, 2024 Effi Saharudin

Serentak dengan pengumuman Surface baharu serta kategori Copilot+ PC pagi ini, Microsoft turut memberikan beberapa ciri baharu yang akan tiba pada Windows 11. Paling menarik kami rasakan ialah Windows Recall yang mengingati kesemua aktiviti dan lokasi fail pada PC pengguna.

Microsoft mengatakan Recall ialah seperti mempunyai pembantu maya dengan memori fotografi. Pengguna boleh bertanya di mana lokasi sesebuah fail yang dimuat turun secepat kilat. Ia turut boleh mengingati emel tertentu yang dihantar menggunakan Outlook. Laman web yang dilayari oleh pengguna juga boleh dicari semula dengan bertanya kepada Recall dan memberikan konteks yang diperlukan.

Ia juga boleh disuruh mencari gambar ketika bercuti misalnya dengan insan tertentu. AI Recall akan memahami konteks dengan melihat lokasi GPS serta pengecaman wajah untuk memaparkan hasil carian yang diingini pengguna.

Bagi yang paranoid, kesemua memori Recall disimpan di dalam PC dan tidak dihantar ke awanan. Di sinilah kemampuan cip NPU pada AI PC dan Copilot+ PC digunakan untuk melakukan tugasan AI secara terbina. Pengguna diberikan pilihan mematikan atau menjeda Recall. Mereka juga boleh menghadkan apakah aktiviti yang boleh direkodkan.

Recall akan mengambil 25GB storan pada komputer yang bersamaan dengan simpanan memori selama 3 bulan. Jika storan ini habis digunakan, kesemua memori lama akan dibuang. Oleh itu pengguna harus menyedari Recall bukanlah AI yang boleh mengingati aktiviti pengguna selama-lamanya.

Turut diperkenalkan oleh Microsoft pagi ini ialah Cocreator yang merupakan AI generatif yang menjana imej berdasarkan lakaran yang diberikan oleh pengguna. Isu dengan penjana imej AI ialah ianya terlalu rawak tanpa kawalan komposisi imej akhir. Pengguna CoCreator boleh melakukan lakaran kasar dan imej akhir akan dijana menggunakan lakaran manual oleh pengguna.

Akhir sekali ialah Restyle Image di dalam aplikasi Photos. Pengguna boleh mengarahkan aplikasi untuk mengubah gaya gambar asal dengan pilihan seperti Anime, Fantasy, Surrealism dan banyak lagi. Sebuah imeh baharu boleh dijana tanpa pengguna menghabiskan masa beberapa jam melakukannya sendiri di dalam aplikasi Photoshop.

Ciri Recall, dan CoCreator,akan diproses di dalam mesin oleh NPU dan oleh itu ia pada waktu ini eksklusif pada Copilot+ PC yang dijana cip Snapdragon X. AI PC yang menggunakan cip Intel tidak akan menerima ciri ini kerana ia memerlukan NPU sekurang-kurangnya 40 TOPS yang lebih berkuasa berbanding cip Intel Core Ultra.

Komen