Minggu lalu Amerika Syarikat mengenakan tarif 100% ke atas kenderaan elektrik (EV) buatan China yang diimport ke negara mereka. Langkah diambil bagi melindungi pengeluar kenderaan Amerika Syarikat yang mungkin terjejas dengan kemasukan EV China kerana ia dijual pada harga lebih rendah. Elon Musk hari ini dipetik berkata beliau kini menentang penguatkuasaan tarif ini dalam sebuah persidangan di Paris.

Pendirian Musk ini adalah berbeza sekali dengan kenyataan beliau sebelum ini yang mengatakan pengeluar kenderaan lain akan “dimusnahkan” pengeluar EV China jika halangan tidak dikenakan. Ini mungkin kerana Tesla tidak dikenakan sebarang tarif untuk menjual kenderaan di China kerana ia dipasang di negara tersebut. Beliau mungkin risau China akan membalas tindakan pentadbiran Joe Bidan dengan mengenakan tarif yang sama ke atas Tesla.
Selain EV, Amerika turut mengenakan tarif 50% ke atas semikonduktor dan panel solar China. Tarif 25% pula dikenakan pada besi dan aluminium China. Pengenalan tarif baharu ini akan meningkatkan kos kesemua bahan ini di Amerika sekaligus membebankan pengguna. Tetapi ini adalah langkah yang dilihat perlu bagi mengekang China daripada memintas Amerika sebagai negara dengan ekonomi terbesar.