Carian
Keluarga Michael Scumacher Berjaya Saman Majalah Yang Menerbitkan Temuramah Palsu Dijana AI
May 27, 2024 Effi Saharudin

Max Verstappen ialah juara sukan Formula 1 musim lalu dengan beliau memecahkan rekod paling banyak memenangi perlumbaan dalam satu musim yang sebelum ini dipegang oleh Michael Schumacher. Schumacher sudah lebih sedekad tidak dilihat sejak mengalami kemalangan ketika meluncur salji pada tahun 2013. Kerana beliau dan Lewis Hamilton masih memegang rekod paling banyak memenangi kejuaraan F1 sepanjang kerjaya, Schumacher masih mempunyai ramai peminat.

Tahun lalu majalah Die Aktuelle menerbit temuramah yang didakwa eksklusif dengan Michael Schumacher. Namun begitu keluarga Schumacher telah mengemukakan saman ke atas Die Aktuelle kerana adalah temuramah palsu yang sebenarnya dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Mercedes-AMG PETRONAS F1
Gambar – Mercedes-AMG PETRONAS F1

Mahkamah di Munich minggu lalu mengenakan denda 200,000 Euros ke atas Die Aktuelle kerana menerbitkan berita palsu tersebut. Sementara itu Die Aktuelle telah memecat ketua editor Anne Hoffman yang bertanggungjawab meluluskan penerbitan temuramah tersebut dan majalah telahpun memohon maaf kepada keluarga Schumacher.

Isu menggunakan AI kini semakin dibincangkan kerana semakin ramai menyedari isu moral dan harta intelek yang dilanggar demi melatih model. Pelakon Scarlett Johansson minggu lalu menggunakan khidmat peguam bagi memaksa OpenAI berhenti menggunakan suara pembantu maya ChatGPT yang mirip dengan suara beliau.

Pada waktu yang sama beberapa syarikat mula menawarkan model dan avatar AI untuk insan yang telah meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia memori, suara dan wajah pelanggan diabadikan dan kemudian avatar realistik menjadi pengganti diri. Di Jepun misalnya ia digunakan ibu bapa kehilangan anak untuk mengubat kerinduan kepada si mati.

Komen