Carian
Nothing Phone (2a) Special Edition Dilancarkan – 100 Unit Sahaja Di Malaysia
May 29, 2024 Fahim Zahar

Nothing Phone (2a) Special Edition telah pun dilancarkan hari ini. Ia adalah Phone (2a) yang sama iaitu dijana cip Dimensity 7200 Pro + 12/256 GB, kamera 50+50 Megapixel, skrin 6.7-inci OLED 120Hz, bateri 5000mAh, kekal dengan sistem lampu Glyph dan menjalankan Nothing OS. Keunikan versi istimewa ini adalah ia direka oleh ahli Nothing Community.

Phone (2a) Special Edition ini menggunakan versi warna putih yang sedia dijual di Malaysia pada harga RM1,699. Cuma kini terdapat gabungan berwarna merah daripada titik dalam fon telinga Nothing Ear, warna kuning daripada Nothing Ear (a) baharu dan juga warna biru daripada Phone (2a) Blue yang telah dijual di negara terpilih. Ia juga adalah kali pertama produk Nothing menggunakan tiga warna terang sekali gus di dalam satu peranti.

Sejak dilancarkan pada bulan Mac lepas, sebanyak 13 kemas kini Nothing OS telah diedarkan. Phone (2a) kini sedia menyokong ChatGPT terbina dan turut boleh menggunakan mana-mana TWS Nothing Audio atau TWS CMF untuk mengakses ChatGPT dengan pantas. Nothing Phone (2a) Special Edition dijual di Malaysia pada harga RM1,699 untuk 12/256 GB. Sebanyak 100 unit sahaja dijual di Malaysia dan hanya boleh dibeli di laman web Crossover pada 7 Jun jam 12 pagi.

Komen