Carian
Ulasan Poco F6 – Pembunuh Peranti Mercu Makin Maju
June 10, 2024 Fahim Zahar

Poco F6 adalah peranti mercu mampu milik baharu Poco yang mengingatkan saya kepada Poco F1, pembunuh peranti mercu yang suatu masa dahulu digemari ramai. Banyak peranti kelas pertengahan premium mengambil Poco F1 sebagai contoh iaitu menawarkan spesifikasi padu pada harga mampu. Poco F6 ini percayalah kata saya yang ia adalah kelahiran semula pembunuh peranti mercu yang lebih maju.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Skrin6.67″ AMOLED, 1.5K WQHD+, 120Hz,
Dolby Vision, 4000 nits, Gorilla Glass Victus
PemprosesSnapdragon 8s Gen 3 (4nm)

1x 3.0 GHz Cortex-X4
4x 2.8 GHz Cortex-A720
3x 2.0 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 735
RAM8/12 GB LPDDR5X
8 GB Maya
Storan256/512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP IMX 882, f/1.59, OIS (Sudut Lebar)
8MP (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Depan20MP, f/2.2
Bateri5000mAh
90W Xiaomi HyperCharge (Berwayar)
Sim/TelefoniDwi-SIM 5G
AudioSpeaker Stereo Dolby Atmos
WiFi, NFC, BluetoothWiFi 6, Ya, Bluetooth 5.4,
Infra MerahYa
Kalis AirIP64
Sistem ImbasanCap Jari Bawah Skrin
Harga Jualan
RM1,799 (8/256 GB)
RM1,999 (12/512 GB)

Jika anda lihat spesifikasi Poco F6 dan membandingkannya dengan F6 Pro anda akan rasa aneh kenapa F6 dimuatkan dengan lebih banyak ciri premium berbanding model yang lebih mahal? Ini mungkin kerana Poco ingin menarik perhatian orang ramai agar membeli peranti ini. Skrin adalah AMOLED 120Hz dengan Dolby Vision dan Gorilla Victus, cip yang digunakan pul aadalah yang terkini iaitu Snapdragon 8s Gen 3, kamera 50MP, perlindungan IP64, dan pegecasan pantas 90W.

Dari segi rekaan, saya juga masih rasa aneh dengan keputusan Poco kerana model F6 ini nampak lebih sesuai untuk profesional kerana rekaan yang minimalis berbanding F6 Pro yang bercorak. Tidak dinafikan yang rekaan peranti ini kelihatan sama dengan banyak peranti lain dalam kelas sama iaitu dua bonggol kamera besar dengan LED flash di sebelah. Skrin rata juga nampak menarik dan selesa digunakan berbanding yang menggunakan skrin melengkung.

Lain-lain pada peranti ini nampak baik sekali seperti warna Titanium yang nampak mewah, butang-butang yang sedap ditekan, masih mempunyai pemancar infra merah, serta di tangan seakan memegang sebuah peranti mercu yang bersaiz sederhana kerana tidak terlampau besar. Poco F6 benar-benar kelihatan sebagai sebuah pembunuh peranti mercu.

SKRIN

Saya berpuas hati dengan skrin AMOLED 120Hz Dolby Vision bersaiz 6.67-inci dengan resolusi 1.5K ini. Sepanjang saya menggunakan peranti ini di Dubai, skrin di bawah cahaya matahari terik boleh dilihat dengan jelas kalau hidupkan mod Sunrise. Warna Dolby Vision yang dipaparkan ketika menonton Netflix juga cukup tajam dan dalam memberi pengalaman yang memuaskan. Mod 120Hz juga hebat dan pantas walaupun bukan panel LTPO.

Skrin turut mempunyai mod tambahan seperti AI Image Engine untuk menjadikan imej dan video nampak lebih cantik. Menggunakan peranti ini untuk membaca, bermain permua dan sosial media semata-mata juga selesa dan tidak mendatangkan sebarang masalah.

BIOMETRI

Sistem biometri agak perlahan kerana masih menggunakan sensor optikal. Jari saya yang mudah berpeluh ini kerap kali gagal tetapi yang lebih pantas adalah nyahkunci berasaskan wajah kerana kini dikuasakan kecerdasan buatan.

PENGGUNAAN – XIAOMI HYPEROS UNTUK POCO PENUH IKLAN

Xiaomi benar-benar mendengar keluhan pengguna. Apabila peranti Xiaomi penuh dengan iklan, mereka kurangkan pada peranti mercu letak pada Redmi. Kemudian apabila Redmi menjadi kategori paling laris mereka ubah dan menjadikan Poco sebagai peranti paling banyak iklan. Iklan pada Xiaomi HyperOS untuk Poco F6 ini sangat dahsyat kerana peranti yang sebenarnya sudah bebas aplikasi gendut dimuatkan dengan banyak permua dan aplikasi tidak berguna.

Penggunaan Xiaomi HyperOS pada Poco F6 adalah lebih kurang sama dengan peranti Xiaomi dan Redmi yang lain. Walaupun tiada penjenamaan Poco HyperOS, Xiaomi masih memberikan hampir semua ciri dan fungsi yang hampir sama. Misalnya ciri AI Eraser dan AI Expansion boleh digunakan dengan ciri AI lain akan diberikan dalam kemas kini akan datang. Malah Poco F6 juga mempunyai ciri AI khas iaitu untuk kawalan gestur atas udara seakan kesatria Jedi atau juga boleh melihat mata penggunaan untuk ciri yang lebih pintar.

Menggunakan Poco F6 adalah seakan menggunakan peranti Redmi Note 13 Pro+ kerana harga jualan lebih kurang sama akan membawa pengalaman penggunaan lebih kurang sama. Beza hanyalah pada prestasi permua, bateri dan kemampuan kamera. Untuk Poco F6 ini pada hemat saya peranti yang baik sebagai peranti mercu pertama sebelum berbelanja lebih memiliki peranti mercu premium.

Satu lagi perkara yang saya menyampah, ya agak keras di sini kerana dalam mod permua walaupun iklan telah dimatikan ia masih terpapar iklan tidak boleh dilangkau dengan skrin hampir penuh apabila mengakses Game Turbo dalam permua yang menegak. Buat masa ini tiada cara untuk mematikannya dengan mudah.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS

Di atas kertas, Snapdragon 8s Gen 3 adalah lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Gen 2 tetapi mempunyai kuasa pemprosesan dan GPU yang lebih efisien dan berkuasa. Pesaing kategori sama yang saya boleh bandingkan adalah Infinix GT 20 Pro dengan cip Dimensity 8200 Ultimate dan Redmi Note 13 Pro+ dengan cip Dimensity 7200 Ultra. Saya juga lampirkan markah untuk Xiaomi 14 (Snapdragon 8 Gen 3), dan OnePlus 12R (Snapdragon 8 Gen 2) bagi menunjukkan perbezaan prestasi cip siri Snapdragon 8 yang digunakan.

Dalam penggunaan saya untuk beberapa minggu, memang benar Poco F6 adalah sebuah peranti yang pantas. Malah di atas pentas semasa pelancaran, Poco memperlihatkan skor lebih kurang sama yang dicapai oleh OnePlus 12 dengan cip Snapdragon 8 Gen 3. Untuk Poco G6 selepas beberapa ujian dilakukan berikut adalah apa yang diperoleh dalam setiap aplikasi penanda aras;

Antutu 3D

  • Poco F6 – 1,331,937
  • Infinix GT 20 Pro – 933,015
  • Redmi Note 13 Pro+ – 757,180
  • OnePlus 12R – 1,431,444
  • Xiaomi 14 – 1,773,520

Geekbench 6

  • Poco F6 – 1685/4776
  • Infinix GT 20 Pro – 1244/3516
  • Redmi Note 13 Pro+ – 1127/2658
  • OnePlus 12R – 1081/4204
  • Xiaomi 14 – 1741/6313

3DMark Wildlife Extreme

  • Poco F6 3094/18.53 FPS
  • Infinix GT 20 Pro – 1736/10.40 FPS
  • Redmi Note 13 Pro+ – Tidak boleh diuji
  • OnePlus 12R – 3712
  • Xiaomi 14 – 4499

Bermain permua dengan peranti ini sebenarnya agak menarik. Call of Duty Mobile dan Marvel Snap boleh dimainkan selama beberapa jam tanpa peranti memanas atau lengah masa. Cuma jangka hayat bateri menjadi tidak konsisten setiap kali permua dimainkan.

KAMERA

Jelas di sini Poco juga ingin menjadi Nothing kerana hanya memberikan dua kamera belakang yang benar-benar berfungsi tanpa sebarang kamera gimik. Sensor 50MP utama dan 8MP sudut ultra lebar sudah memadai untuk saya mengambil gambar di suasana Dubai. Mod malam dan potret agak lemah pada peranti ini tetapi lain-lain, Poco F6 menawarkan kemampuan fotografi yang boleh diterima.

Mod potret malam yang nampak seakan penuras vintaj.
Mod 1x yang cuba dengan baik memelihara butiran.
Mod potret swafoto yang hampir kemas dengan warna yang baik.
Mod sudut ultra lebar malam yang nampak baik tetapi sebenarnya tidak konsisten.
Mod auto di siang hari yang sangat memuaskan.
Fokus yang pantas apabila buka dan terus tangkap kerana subjek utama masih jelas.
Mod auto yang baik apabila mempunyai sumber cahaya yang bagus.
Satu lagi contoh baik kemampuan fokus, kerana gambar ini diambil sambil berjalan.

Saya tidak menyertakan sampel rakaman video pada peranti ini kerana ia kerap bermasalah. Kerana cuaca yang sangat panas di Dubai, setiap kali saya merakam video akan ada notifikasi aplikasi dihentikan kerana suhu panas yang melampau. Apa saya boleh katakan kemampuan video adalah seakan Poco F5 lagi, masih tidak memuaskan.

AUDIO

Speaker stereo Dolby Atmos digunakan pada Poco F6. Bunyi yang seimbang tetapi aras suara yang tidak konsisten mengikut jenis kandungan. Kadangkala pada tetapan 50%, video lebih kuat berbanding audio dan kadangkala fail sama dimainkan audio pula lebih kuat berbanding video.

BATERI DAN PENGECASAN

Poco F6 menggunakan bateri berkapasiti 5000mAh dengan pengecasan pantas 90W. Penggunaan saya yang seimbang antara permua dan media sosial memberi ketahanan sekitar 6 jam SOT sementara penggunaan benar-benar berat sekitar 8 jam SOT. Mod hibernasi pada Xiaomi HyperOS membenarkan Poco F6 bertahan sekitar 2 jam tambahan dengan bateri 1% adalah satu ciri yang sangat saya hargai. Durasi pengecasan dari 1% ke 100% adalah sekitar 40 minit yang mana cukup pantas untuk penggunaan harian.

PERBANDINGAN DENGAN PESAING

Poco F6Infinix GT 20 ProRedmi Note 13 Pro+
6.67″ AMOLED, 1.5K, 120Hz,
Dolby Vision, 4000 nits, Gorilla Glass Victus
6.78″ AMOLED, 1080 x 2436,
FHD+, 120Hz, Video HDR
6.67″ AMOLED, 1.5K,
Dolby Vision, 1800 nits, Gorilla Glass Victus
Snapdragon 8s Gen 3 (4nm)

1x 3.0 GHz Cortex-X4
4x 2.8 GHz Cortex-A720
3x 2.0 GHz Cortex-A520
Dimensity 8200 Ultimate (4nm)

1x 3.1 GHz Cortex-A78
3x 3.0 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 7200-Ultra (4nm)

2x 2.8 GHz Cortex-A715
6x 2.0 GHz Cortex-A510
Adreno 735Mali-G610 MCMali-G610 MC4
8/12 GB LPDDR5X
8 GB Maya
12GB RAM LPDDR5X
12GB Maya
8/12 GB LPDDR5
256/512 GB UFS 4.0256GB UFS 3.1256/512 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP IMX 882, f/1.59, OIS (Sudut Lebar)
8MP (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Utama
108MP, f/1.75, OIS Sudut Lebar
2MP, f/2.4 Makro
2MP, f/2.4 Sensor Kedalaman
Kamera Utama
200 MP, OIS, f/1.65 (Sudut Lebar)
8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
2 MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Hadapan
20MP, f/2.2
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.45
Kamera Hadapan
16 MP, f/2.5
IP64IP54IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio Stereo, Dolby AtmosAudio Stereo, JBLAudio Stereo, Dolby Atmos
5000 mAh (Berwayar 90W)5000 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 120W)
Hitam/Titanium/Hijau
RM1,799 (8/256 GB)
RM1,999 (12/512 GB)
RM 1,299 (12/256 GB)RM1599 (8/256 GB)
RM1999 (12/512 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

Poco masih memberikan pakej lengkap untuk setiap pembelian iaitu;

  • 1x Poco F6 dalam pilihan warna masing-masing.
  • 1x Kerangka pelindung berwarna hitam kusam.
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas USB-A 90W.
  • 1x Buku panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN

Jikalau Xiaomi HyperOS yang digunakan pada Poco ini tiada sebarang iklan, saya boleh katakan Poco F6 adalah sebuah peranti mercu mampu milik yang sempurna. Walau bagaimanapun untuk jualan harga mampu milik, nampaknya gayanya iklan ini adalah satu kewajipan untuk semua sepertimana menonton YouTube bebas iklan juga kini memerlukan bayaran.

Saya juga boleh katakan Poco F6 adalah untuk mereka yang pentingkan prestasi, sementara Redmi Note 13 Pro+ adalah peranti yang lebih seimbang. Saya turut akan mencadangkan orang ramai membeli telefon ini kerana Poco memberikan kemas kini perisian untuk 3+4 tahun, jika tidak saya akan sarankan orang ramai membeli Infinix GT 20 Pro yang harga jauh lebih murah tetapi prestasi padu – cuma sokongan kemas kini adalah 2 tahun.

PRO

  • Skrin yang cantik, terang dan pantas.
  • Audio yang cukup seimbang.
  • Bateri yang tahan lama dan menyokong pemgecasan pantas.
  • Perlindungan IP64 satu naik taraf baik berbanding IP54.
  • Kamera 50MP yang baik di siang hari.

KONTRA

  • Skrin tiada LTPO dan mod kecerahan paling tinggi tidak automatik.
  • Kamera tidak begitu elok jika suasana kurang cahaya.
  • Xiaomi HyperOS pada Poco penuh dengan iklan menjengkelkan.
  • Harga jualan membuat orang keliru ingin beli Poco atau Redmi.
Komen