Cari @ Amanz

Ulasan Infinix GT 20 Pro – Sekali Lagi Pesaing Pasti Terkedu

Link Copied!

Tahun lepas saya amat mengulas Infinix GT 10 Pro, sebuah peranti kelas asas yang yang dipasarkan sebagai peranti gaming. Kemudian mereka hadir pula dengan Note 40 Pro yang juga peranti asas tetapi lengkap dengan beberapa ciri mercu. Terbaru yang saya telah uji untuk hampir sebulan, Infinix GT 20 Pro – kesinambungan kepada peranti gaming kelas asas mereka yang berganda lebih berkuasa. Peranti ini kini berada di dalam kelas pertengahan yang hampir premium.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Infinix Note 40 Pro
Skrin6.78″ AMOLED, 1080 x 2436 FHD+,
144Hz, 1300 nits, Video HDR
PemprosesDimensity 8200 Ultimate (4nm)

1x 3.1 GHz Cortex-A78
3x 3.0 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G610 MC
RAM12GB LPDDR5X
12GB Maya
Storan256GB UFS 3.1
Kamera Utama108MP, f/1.75, OIS – Sudut Lebar
2MP, f/2.4 Makro
2MP, f/2.4 Sensor Kedalaman
Kamera Depan32MP, f/2.45
Bateri5000mAh
Pengecasan Berayar 45W
Sim/TelefoniDwi-SIM 5G
AudioSpeaker Stereo JBL
WiFi, NFC, BluetoothWiFi 6, Ya, Ya
Infra MerahYa
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanCap Jari Bawah Skrin
Harga Jualan RM1,299 (12/256 GB)

Sukar untuk bezakan rekaan kerana GT 20 Pro menggunakan rekaan lebih kurang sama dengan GT 10 Pro. Skrin adalah jenis rata dengan bezel yang agak nipis. Peranti nampak ranggi dengan tema gaming yang futuristik, bentuk juga adalah segi empat yang rata di setiap sisi dan melengkung sedikit pada bucu. Peranti ini amat mudah untuk dikendalikan dan selesa dijadikan sebagai peranti harian.

Walaupun nampak premium, binaan peranti ini tidak begitu kukuh. Selepas menggunakan peranti ini untuk lebih satu minggu, di tangan boleh rasa kualiti untuk peranti dalam kelas ini yang tidak begitu sempurna. Walaupun begitu, Infinix masih cuba yang terbaik membawakan elemen premium pada peranti mampu milik. Butang masih selesa ditekan, rekaan kekisi speaker nampak cantik cuma apa yang saya tidak suka adalah di keliling peranti ia mudah menangkap kotoran cap jari.

SKRIN

Skrin AMOLED bersaiz 6.78-inci digunakan pada peranti ini dengan resolusi 1080 x 2436 piksel. Ia turut menyokong kadar segar semula 144Hz, jadi bermain permua grafik tinggi dengan X Arena akan memberi pengalaman yang memuaskan. Ia juga cukup pantas dan bijak dalam menentukan pergerakan skrin mengikut kandungan walaupun masih baru di pasaran. Kecerahan terhad kepada 1300 nits sahaja, yang mana tidak menjadi masalah kerana saya banyak meluangkan masa bersama peranti ini ketika berada di dalam rumah.

Tiada sokongan paparan Dolby Vision atau HDR 10+, jadi menonton video di Netflix atau Prime Video perlu bergantung kepada Video HDR iaitu algoritma warna skrin tersendiri yang kurang cantik. Warna skrin diberi fokus ketika bermain permua sahaja, itu pun hanya dengan X Arena. Skrin masih cukup selesa digunakan untuk membaca artikel atau ebuku.

BIOMETRI

Infinix GT 20 Pro menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin. Ia tidak begitu hebat kerana jari saya jarang dapat dikesan dan perlu melakukan imbasan sekurang-kurangnya dua kali baru menjadi. Ciri nyahkunci wajah dengan kamera swafoto agak pantas dan bagus dalam menentukan siapakah pengguna sebenar peranti ini.

PENGGUNAAN – XOS 14, ANDROID 14 dan AI GENERATIF

Transsion boleh dikira sebagai bayi di pasaran Malaysia. Mereka hanya menawarkan Tecno dan Infinix, tetapi bijak dalam memberi pengguna pengalaman penggunaan peranti terbaik. Pada GT 20 Pro, XOS 14 for GT berasaskan Android 14 digunakan yang bebas daripada aplikasi gendut. Ya, menetapkan peranti ini tidak memberi sebarang tekanan dan adalah sangat lancar serta menenangkan.

Walaupun pada talam aplikasi tidak mempunyai banyak aplikasi, XOS 14 for GT sedia dilengkapi dengan banyak ciri dan fungsi yang menarik. XOS tidak menggunakan Google pada pelancar sebaliknya menggunakan skrin widget tersendiri. Aplikasi album mempunyai ciri AI yang boleh mencipta kenangan dan mencari dengan kata kunci seperti Google Photos. Kemudian peranti menyokong memori maya yang memberi jumlah RAM adalah 24GB untuk membantu pemprosesan dan aplikasi yang berjalan di latar.

Walaupun tiada Dolby Vision, ciri Video HDR ditawarkan yang menggunakan algoritma mereka tersendiri memberi kesan HDR pada Netflix. Infinix turut tidak ingin ketinggalan dengan ciri seakan Dynamic Island iaitu Dynamic Bar yang boleh memaparkan status rakaman suara, pengecasan, panggilan telefon dan nyahkunci wajah. Ciri AI generatif untuk penterjemahan melalui Folax turut dikekalkan. Paling menarik adalah Mecha Loop iaitu sistem lampu RGB yang menggunakan lajur LED seakan Nothing. Ia juga adaptif dan interaktif.

Infinix GT 20 Pro dengan XOS 14 for GT adalah padanan yang bagus. Sistem operasi ini cuba menjadi Funtouch OS oleh vivo kerana membawakan banyak aplikasi tersendiri berbanding menggunakan apa yang Google telah tawarkan. Bagus, tetapi tidak begitu efisien untuk pengguna Malaysia yang mana majoriti pengeluar peranti menggunakan aplikasi oleh Google. Ciri X Arena turut adalah satu ciri bagus yang meningkatkan lagi pengalaman bermain permua.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS

Jangan terkejut dengan skor penanda aras peranti ini. Saya juga tidak sangka kerana terlampau tinggi seakan peranti mercu generasi lepas. Walaupun skor hanyalah nombor, ia padan dengan pengalaman penggunaan saya yang menarik dan puas kerana peranti ini benar-benar mempunyai prestasi yang dahsyat. Untuk perbandingan ini saya letakkan Infinix GT 20 Pro bersama-sama dengan Infinix Note 40 Pro yang harga jualan lebih kurang sama tetapi dengan cip Dimensity 7020 dan juga Samsung Galaxy A55 dengan cip Exynos 1480 yang agak berkuasa.

Antutu 3D

  • Infinix GT 20 Pro – 933,015
  • Infinix Note 40 Pro – 450,320
  • Samsung Galaxy A55 – 686,987

Geekbench 6

  • Infinix GT 20 Pro – 1244/3516
  • Infinix Note 40 Pro – 1120/3338
  • Samsung Galaxy A55 – 1120/3338

3D Mark Wildlife Extreme

  • Infinix GT 20 Pro – 1736/10.40 FPS
  • Infinix Note 40 Pro – Tidak boleh diuji
  • Samsung Galaxy A55 – 1049 / 6.28 FPS

Pengalaman terbaik saya dengan peranti ini adalah bermain Call of Duty for Mobile. Tetapan grafik paling tinggi mampu menjalankan permua sekitar 40FPS untuk sesi 15 minit. Marvel SNAP tiada masalah untuk bergerak pada 60FPS untuk sesi bermain selama lebih 1 jam berturut-turut. Peranti juga tiada masalah pemanasan kerana X Arena yang hebat mengendalikan pemprosesan CPU dan GPU.

KAMERA

Apabila menguji sebuah peranti yang mampu milik, saya tidak akan mengharapkan sesuatu yang betul-betul hebat di luar jangkaan akan dapat dialami. Untuk sistem kamera GT 20 Pro, ia agak baik lagi-lagi kamera peranti kelas asas tetapi algoritma pasca-prosesnya adalah kelas pertengahan. Di bawah adalah hasil gambar dengan butiran suasana pencahayaan serta mod yang digunakan.

Mod jarak dekat, bukan potret pada waktu Asar. Kesan bokeh yang baik, dan butiran nampak boleh diterima tetapi masih ada kesan kelembutan.
Swafoto di waktu tengah hari sambil berjalan agak baik. Tiada masalah fokus cuma butiran tidak dipelihara dengan baik.
Mod zum 3x pada waktu lewat petang. HDR diaktifkan tetapi langit tidak begitu cantik, mengejutkan adalah butiran rumah ini dapat dilihat dengan baik.
XOS 14 for GT ada mod langit palsu, ini gambar waktu tengah hari sekitar Kampung Baru – mod senja ini nampak hebat.
Potret jarak dekat dengan suasana lampu suram agak menarik. Kotoran pada bunga palsu ini jelas.
Mod potret manusia sedang berjalan mempunyai kualiti sederhana. Hasil ini mengambil masa beberapa saat untuk diproses.
Mod malam tidak mempunyai warna yang cantik gangguan pantulan cahaya kepada lens menjadikan hasil gambar aah sinematik tetapi tidak kemas.
Potret di dalam dewan dengan lampu yang terang nampak kemas tetapi warna dikorbankan.

Saya jarang melakukan ujian rakaman video menggunakan peranti yang murah seperti ini. Untuk Infinix GT 20 Pro terdapat mod rakaman dwi-kamera yang agak kemas dan cantik. Warna masih pudar tetapi tidak menghalang pengguna menambah penuras warna untuk mencantikkan hasil rakaman video agar sesuai untuk media sosial.

AUDIO

Sama seperti Note 40 Pro, GT 20 Pro juga menggunakan sistem speaker stereo yang ditala oleh JBL. Sayang sekali kerjasama yang bagus tidak membawakan kualiti yang menarik. Speaker peranti lebih kepada kuat tanpa definisi menjadikan pengalaman bermain permua, mendengar muzik dan menonton video tidak imersif serta cepat rasa bosan.

BATERI DAN PENGECASAN

GT 20 Pro tiada cip bateri Cheetah X1, tiada sokongan pengecasan nirwayar atau pengecasan berbalik. Ia hanyalah peranti gaming dengan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W berasaskan teknologi PD 3.0. Guna pengecas rasmi boleh, pengecas PD GaN 45W ke atas pihak ketiga pun tidak menjadi masalah.

Untuk ketahanan bateri, penggunaan berat seperti bermain permua tanpa henti dan menggunakan kamera hanya boleh bertahan sehingga 6 jam SOT. Untuk penggunaan ringan ia berbeza kerana ketahanan bateri boleh mencapai sehingga 11 jam SOT yang tiada masalah untuk penggunaan selama dua hari. Tempoh pengecasan dari 0% e 100% adalah sekitar satu jam sahaja yang mana boleh diterima.

PERBANDINGAN DENGAN PESAING

Infinix GT 20 ProInfinix Note 40 ProSamsung Galaxy A55
6.78″ AMOLED, 1080 x 2436,
FHD+, 120Hz, Video HDR
6.78″ AMOLED, 1080 x 2436,
FHD+, 120Hz
6.6″ Super AMOLED, 1080 x 2350,
120Hz, HDR10+
Dimensity 8200 Ultimate (4nm)

1x 3.1 GHz Cortex-A78
3x 3.0 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 7020 (6nm)

2x 2.2 GHz Cortex-A78
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Exynos 1480 (4nm)

4x 2.75 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G610 MCIMG BXM-8-256/Hyper EngineXclipse 530 (AMD RDNA2)
12GB RAM LPDDR5X
12GB Maya
8GB LPDDR4X
8GB Maya
12GB LPDDR5
256GB IFS 3.1256GB UFS 2.2256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
108MP, f/1.75, OIS Sudut Lebar
2MP, f/2.4 Makro
2MP, f/2.4 Sensor Kedalaman
Kamera Utama
108MP, f/1.7, OIS Sudut Lebar
2MP, f/2.4
2MP, f/2.4
Kamera Utama
50MP, f/1.8, OIS Sudut Lebar
12MP, f/2.2 Sudut Ultra Lebar
5MP, f/2.4 Makro
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.45
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.2
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.2
IP54IP53IP67
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio Stereo, JBLAudio Stereo, JBLAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 25W)
RM 1,299 (12/256 GB)RM 1,098 (8/256 GB)RM 1999 (12/256 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

Infinix GT 20 Pro bukan sahaja dijual pada harga mampu milik, tetapi turut masih menawarkan pelbagai barangan dalam kotak pembelian. Berikut apa yang anda akan dapat;

  • 1x Infinix GT 20 Pro
  • 1x Kerangka pelindung plastik yang ranggi
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pengecas USB-A 45W
  • 1x Kaca pelindung terbaja (tempered)
  • 1x Buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN

Jika tidak diberitahu harga, saya akan beranggapan peranti ini mungkin berharga RM2000. Harga sebenar adalah RM1299 yang mana memang tidak masuk akal. Skrin AMOLED 144Hz yang cukup baik, cip Dimensity 8200 dengan 12GB RAM LPDDR5X yang berkuasa, kamera 108MP dan sistem operasi XOS 14 for GT yang mantap adalah pakej peranti gaming mampu milik yang sempurna. Jika anda mahu mula berkecimpung dalam arena e-sukan, atau ingin sebuah peranti gaming yang tidak pecah poket – Infinix GT 20 Pro wajib dicuba.

PRO

  • Skrin semakin baik dengan mod Video HDR dan 144Hz yang pantas.
  • Mecha Loop Lighting yang meriah.
  • Prestasi yang sangat pantas.
  • Bateri yang tahan lama sehingga dua hari.
  • XOS 14 for GT yang bebas aplikasi gendut.
  • Harga yang sangat berbaloi.

KONTRA

  • Kamera 108MP memerlukan algoritma yang lebih baik.
  • Aplikasi lalai banyak yang tersendiri bukan Google.
  • Speaker JBL tidak memuaskan.
  • Dua lagi kamera hanya gimik semata.
  • Rekaan tidak cukup kukuh atau tahan lasak.

Komen ()