Pasca pandemik kita melihat letusan pegangan peranti di bawah payung Transsion mula menguasai pasaran telefon pintar di Asia Tenggara. Peranti Tecno dan Infinix mempunyai reputasi harga murah dengan prestasi yang memuaskan. Tetapi saya merasakan iQOO seperti agak dilupakan bila muncul soalan peranti mana yang mampu milik tetapi prestasinya mantap? iQOO Z9 5G memasuki pasaran Malaysia beberapa minggu lalu dan saya boleh katakan kepada anda ia peranti yang prestasinya lebih tinggi berbanding harga jualan.

.
SPESIFIKASI
iQOO Z9 5G | |
---|---|
Skrin | 6.78″ AMOLED, 144Hz 1260 x 2800 pixel, HDR Dragontrail Star 2 Plus |
Pemproses | Snapdragon 7 Gen 3 |
Cip | 1 x 2.63 GHz Cortex-A715 4 x 2.4 GHz Cortex-A715 3 x 1.8 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 720 |
RAM | 8/12GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 256 UFS 2.2 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.8 (Sudut Lebar) 2 MP, f/2.4 (Ultra Lebar) |
Kamera Swafoto | 16MP f/2.5 |
Bateri | 6000 mAh Pengecasan berwayar 80W |
SIM/Telefoni | Dwi Nano/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP64 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari bawah skrin Wajah |
Harga Jualan | RM1399 (8/256 GB) RM1499 (12/256 GB) |
Skrin
Skrin 6.78″ AMOLED yang digunakan mempunyai kadar segar semula 144Hz yang adalah tinggi. Skrin berjalan dengan lancar dengan ia mengesan sentuhan dengan baik. Kandungan yang dipaparkan nampak hidup dengan warna yang cukup terang. Namun begitu panel bukan dari jenis LTPO dengan perisian memilih bila ia akan meningkat ke 144Hz atau turun ke tahap 60Hz. Bezel sekata membuatkan peranti nampak seimbang dan juga dari jenis rata.

Skrin tidak mempunyai sebarang piawaian rasmi untuk HDR tetapi mampu mencapai keterangan maksimum 4500 nits yang terang. Kami dapat menikmati HDR10+ pada YouTube dan Prime Video tetapi tidak pada Netflix. Saya tidak mempunyai isu dengan skrin ini kerana kekurangannya hanyalah tiada sokongan HDR Netflix secara rasmi. Untuk sebuah peranti kelas pertengahan, skrin Z9 adalah amat-mata memuaskan.

Biometri
Pengimbas cap terletak di bawah skrin dengan ia dari jenis optikal. Walaupun berfungsi dengan pantas, saya kurang gemar lokasi pengimbas yang agak jauh ke bawah. Oleh itu jari perlu diletakkan lebih ke bawah untuk memudahkan imbasan. Alangkah baiknya jika sistem biometri Oppo yang kedudukannya lebih tinggi digunakan pada Z9. Kedua-dua peranti in di bawah payung BBK maka jika boleh diseragamkan sensor adalah lebih baik. Imbasan wajah juga pantas untuk sebuah peranti kelas pertengahan.

Rekaan
Rekaan iQOO 12 digunakan semula pada Z9 cuma dengan kemasan yang sedikit kurang premium. Bonggol besar di belakang berbentuk empat segi dengan bucu yang dibulatkan. Saya rasakan rekaan ini nampak cantik kerana lensa dua kamera belakang tidak terkeluar. Nampak lebih kemas berbanding rekaan iPhone 15 dengan konfigurasi kamera yang sama.
Apabila diletakkan di atas meja, peranti tidak dapat diletakkan rata. iQOO memberikan kerangka polikarbonat lutsinar dengan setiap pembelian. Kerangan ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan ketinggian bonggol dan memberikan perlindungan daripada hentakan jika peranti terjatuh.

Panel belakang diperbuat daripada bahan polikarbonat yang bertekstur dan oleh itu menjadikannya tidak licin apabila dipegang. Walaupun tanpa kerangka peranti tidak terasa mudah terlepas daripada tangan. Ia juga tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Sisi peranti pula berkotak membuatkannya terasa dam kelihatan teguh.
Butang kuasa dan laras suara diletakkan pada sisi kanan dengan kedua-duanya selesa digunakan. Di bahagian atas terdapat pemancar infra merah dan salah satu speaker stereo yang menembak ke depan. Akhir sekali di bawah terdapat port pengecasan USB-C, kekisi speaker dan talam SIM.

Kerana peranti diperbuat daripada bahan polikarbonat, ia terasa ringan di dalam tangan. Walaupun peranti nampak mercu, apabila di dalam tangan ia terasa agak ringan yang membuatkan ia tidak terasa cukup premium. Jika anda memang mencari peranti yang ringan, Z9 hanya seberat 192gram yang jatuh ke dalam kategori ini.

Satu perkara lagi yang saya suka dengan Z9 ialah tubuh peranti ini melepasi piawaian IP64 yang membolehkannya mengelakkan kerosakan akibat percikan air dan sedikit debu. Jangan tersalah sangka dengan IP68 kerana Z9 tidak boleh dibawa masuk ke dalam kolam renang.
Penggunaan dan Perisian

Di Malaysia Funtouch OS 14 digunakan dengan adalah berasaskan Android 14. Saya harus mengaku kurang menyukai antaramuka Funtouch OS kerana menggunakan ikon dan antaramuka yang lebih kecil jika dibandingkan dengan antaramuka Android biasa. Mata yang semakin rabun membuatkan ikon yang kecil ini menyukarkan saya menggunakannya. Salah lebih selesa dengan ColorOS dan OxygenOS.
Sistem operasi ini boleh digunakan dengan lancar dan saya tiada isu dengan ciri-ciri yang diberikan. Sebagai contoh pemilik boleh menmperibadikan tema, animasi nyahkunci peranti, ikon imbasan cap jari dan ikon pengecasan. Jarang sekali ciri ini diberikan oleh pengeluar lain. Terdapat juga ciri standard semasa seperti Smart Sidebar dan penambahan RAM secara maya.

Yang saya rasakan sedikit aneh ialah Funtouch OS 14 menawarkan ciri RAM maya yang tidak boleh diubah saiznya. Secara lalai 12GB diaktifkan tanpa pilihan untuk saiz lebih kecil. Pengguna walau bagaimanapun diberikan pilihan untuk mematikannya kerana jika mementingkan storan. Bercakap mengenai storan, tiada sokongan kad mikro SD. Dengan hanya penawaran storan 256GB sahaja di Malaysia, pilihan yang diberikan adalah terhad.

Penanda Aras
Snapdragon 7 Gen 3 ialah cip 4nm dengan konfigurasi 1×2.63 GHz Cortex-A715, 4×2.4 GHz Cortex-A715 dan 3×1.8 GHz Cortex-A510. Ini menjadikannya antara cip kelas pertengahan yang paling berkuasa di pasaran sekarang. Saya membandingkan iQOO Z9 dengan Infinix GT 20 Pro (Mediatek Dimensity 8200 Ultimate), Poco X6 Pro (Mediatek Dimensity 8300 Ultra ) dan Samsung Galaxy A55 (Exynos 1480).
Geekbench 6
- iQOO Z9 5G – 1107/3099
- Infinix GT 20 Pro – 1244/3516
- Poco X6 Pro – 1311/4033
- Samsung Galaxy A55 – 1120/3338
Antutu 3D
- iQOO Z9 5G – 822,720
- Infinix GT 20 Pro – 933,015
- Poco X6 Pro – 1,199,162
- Samsung Galaxy A55 – 686,987
3D Mark Wildlife Extreme
- iQOO Z9 5G – 1493
- Infinix GT 20 Pro – 1736
- Poco X6 Pro – 2,053
- Samsung Galaxy A55 – 1049

Markah penanda aras yang dicatatkan adalah setanding dengan ketiga-tiga cip yang lain. Berdasarkan penggunaan saya selama lebih seminggu, cip ini cukup berkuasa untuk menjalankan aplikasi lazim pelayar web, media sosial, penstriman video dan banyak lagi.
Prestasi untuk menjalankan permua pula bergantung kepada aplikasi yang ingin dimainkan. Permua seperti PUBG, COD Mobile dan Asphalt 9 boleh dijalankan tanpa isu pada tetapan sederhana tinggi dengan kadar bingkai yang memuaskan. Tetapi apabila memainkan Genshin Impact dan COD Warzone Mobile prestasi mula terjejas kerana kedua-dua permua ini memerlukan pemproses mercu seperti Snadpragon 8 Gen 3.
Telefoni dan GPS
Kualiti rangkaian 5G dan WiFi adalah memuaskan. Malahan antara kekuatan peranti ini ialah rangkaian selular masih boleh dicapai walaupun saya berada di dalam lif. Pada peranti lain yang diuji biasanya capaian selular akan terputus seketika. Prestasi GPS pula adalah memuaskan dengan lokasi boleh dijejak selepas beberapa saat aplikasi Waze dan Google Maps dibuka.
Kamera
Kemampuan kamera adalah agak kerana hanya dilengkapi lensa sudut lebar dan makro di belakang. Tiada langsung lensa ultra sudut lebar pada peranti 2024 kami anggap ialah satu kekurangan. Kualiti gambar yang diambil adalah memuaskan untuk peranti dalam kategori ini. Imej kelihatan terang tetapi sedikit kurang tajam kerana sensor 50MP tidak dilengkapi sistem OIS.
Prestasi dalam situasi agak gelap juga masih memuaskan. Dapat dilihat dalam gambar arked yang kami ambil di bawah, sumber cahaya nampak jelas tetapi tidak mempunyai isu silau. Kesan bokeh pula kami rasakan nampak terlalu palsu.






Bateri
Dengan bateri berkapasiti 6000mAh ialah kapasiti yang besar saiznya turut menyokong pengecasan pantas 80W. Dalam penggunaan sederhana saya masih mempunyai sekitar 20% bateri selepas digunakan lebih 20 jam. SOT secara purata ialah antara 7-8 jam sekali lagi dalam penggunaan sederhana. Apabila kehabisan bateri, peranti boleh dicas semula dalam masa sekitar 40 minit yang adalah amat pantas untuk kapasiti bateri yang besar. Peranti walau bagaimanapun hanya menyokong pengecasan berwayar sahaja.

Audio
Sepasang speaker stereo disertakan dengan speaker atas menembak ke depan dan speaker bawah menembak ke sisi. Akibatnya kualiti audio kurang seimbang. Prestasi audio pada Z9 adalah sekadar sederhana sahaja. Pada tetapan sederhana speaker masih boleh melontarkan audio dengan jelas dan hanya mula pecah pada tetapan tinggi. Tiada sistem Dolby Atmos sebaliknya hanya sistem Super Audio diberikan. Menerusinya tetapan automatik boleh digunakan atau memilih secara manual tetapan untuk muzik, filem atau permainan video.

Pesaing
iQOO Z9 5G | Vivo V30 | Poco X6 Pro |
6.78″, AMOLED, FHD+, 144Hz | 6.78″, AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz, Dolby Vision |
Snapdragon 7 Gen 3 (4nm) 1x 2.63 GHz Cortex-A715 3x 2.4 GHz Cortex-A710 4x 2.0 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 7 Gen 3 (4nm) 1x 2.63 GHz Cortex-A715 3x 2.4 GHz Cortex-A710 4x 2.0 GHz Cortex-A510 | Dimensity 8300 Ultra (6nm) 1x 3.35 GHz Cortex-A715 3x 3.2 GHz Cortex-A710 4x 2.2 GHz Cortex-A510 |
Adreno 720 | Adreno 720 | Mali-G615 MC6 |
8/12GB LPDDR4X | 12GB LPDDR4X | 8/12 GB LPDDR5X |
256GB UFS 2.2 | 256/512 GB UFS 2.2 | 256/512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama 50MP, f/1.8 (Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Kedalaman) | Kamera Utama 50MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP, f/2.0 (Ultra-Lebar) | Kamera Utama 64MP, f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2 (Ultra-Lebar) 2MP, f/2.4 (Makro) |
Kamera Hadapan 16-MP f/2.5 | Kamera Hadapan 50-MP f/2.0 | Kamera Hadapan 16-MP f/2.4 |
IP64 | IP54 | IP54 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Mono | Audio Stereo |
6000 mAh (Berwayar 80W) | 5000 mAh (Berwayar 80W) | 5000 mAh (Berwayar 67W) |
RM 1399 (8/256GB) RM 1499 (12/256 GB) | RM 1999 (12/256 GB) RM 2199 (12/512 GB | RM 1699 (8/256 GB) RM 2099 (12/512 GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x iQOO Z9 5G
- 1x Kerangka lutsinar
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas 3 pin 80W
- 1x Pin SIM.
- 1x Buku panduan.

Kesimpulan
iQOO Z9 5G saya kategorikan sebagai peranti yang tidak banyak songel dan memberikan apa yang anda mahukan pada sebuah telefon pintar mampu milik. Prestasi cip yang baik untuk aplikasi lazim dan permua disokong pula oleh bateri cukup tahan lasak yang boleh dicas dalam tempoh amat pendek. Rekaan mungkin tidak begitu seksi tetapi ia masih lagi selesa digunakan. Perisian pula lancar tanpa sebarang isu besar.

Kekurangan hanyalah terletak pada sistem kamera yang terlalu asas. Satu sahaja lensa sudut lebar tanpa lensa telefoto atau ultra sudut lebar. Jika kemampuan fotografi tidak penting kepada anda, iQOO Z9 5G sangatlah berbaloi kerana dijual pada harga bermula RM1399 sebuah.
Pro
- Skrin terang, pantas 144Hz yang rata.
- Prestasi cip adalah amat baik untuk pelbagai aplikasi.
- Kalis air IP64
- Hayat bateri yang laman dengan pengecasan amat pantas.
Kontra
- Kamera sekadar sudut lebar di belakang tanpa OIS.
- Rekaan plastik tidak begitu menarik.
