Carian
ASUS MuseTree Dan StoryCube Adalah Aplikasi AI Generatif Yang Boleh Digunakan Bersama CapCut
June 3, 2024 Fahim Zahar

ASUS hari ini telah melancarkan beberapa laptop AI PC mereka yang dijana dengan siri cip Snapdragon X dan juga siri AMD Ryzen AI 300. Zenboook S 16, ROG Zephyrus G16, TUF Gaming A14/A16, ProArt P16, ProArt PX13 dan juga ProArt PZ13. Setiap laptop ini sedia menyokong Copilot+ dan ciri Recall tetapi khusus untuk laptop ProArt, ASUS ada menawarkan dua ciri AI generatif mereka yang tersendiri.

Pertama adalah MuseTree iaitu perkhidmatan AI generatif menjana gambar. Cuma versi ASUS ini dibangunkan khusus untuk pengguna kreatif atau mereka yang bekerja dalam bidang merekabentuk produk. Ini kerana MuseTree boleh membantu pengguna menjana imej pengolokan dengan menggabungkan idea bahan binaan bersama dengan idea produk untuk memberi inspirasi sebelum membangunkan prototaip.

Kedua adalah StoryCube yang merupakan aplikasi album pintar. Bayangkan Google Photos yang telah disuntik dengan steroid. Ia boleh mengorganisasi setiap foto dan video mengikut sumber peranti seperti dirakam dengan kamera apa, mengikut garis masa, mengikut lokasi dan pengguna turut boleh mencari kandungan dengan carian kata kunci ringkas. Bukan itu sahaja, StoryCube turut boleh menyunting gambar seakan aplikasi Lightroom dan membenarkan pengguna menukar nama fail secara serentak. Jika anda risaukan setiap foto dan video peribadi anda disimpan oleh ASUS, usah risau kerana setiap fail hanya akan disimpan dalam peranti pengguna dan tidak akan dihantar ke mana-mana pelayan.

Kedua-dua MuseTree dan StoryCube menggunakan pemprosesan AI dari dalam peranti yang tidak memerlukan sambungan Internet. ASUS turut bekerjasama dengan CapCut untuk ciri ASUS Dial & Control Panel digunakan pada aplikasi suntingan AI ini. Setiap ciri AI dalam CapCut turut kini boleh digunakan di proses secara luar talian. Ketiga-tiga MuseTree, StoryCube dan CapCut serba baharu ini adalah eksklusif untuk laptop ProArt AI PC sahaja. Mereka yang akan membeli mana-mana laptop ProArt turut layak menerima langganan CapCut Pro 6 bulan secara percuma.

Komen